mutakhir

'Jantung kami ada masalah'

Oleh Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: “Saya hanya petani dan tidak mampu menyediakan RM70,000 untuk pembedahan anak saya, Muhammad Haris Safwan Shahrom, dua tahun yang menderita penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan,” kata Sahrom Mohd Said, 46, dari Yan, Kedah semalam.

Sahrom mengakui keperitan menanggung masalah itu menyebabkan dia mengharapkan keprihatinan orang ramai untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi membolehkan zuriatnya itu menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Gleneagles (GMC) di sini, dengan segera.

Beliau berkata, Muhammad Haris disahkan mengalami masalah ‘Pulmonary Atresia’ selepas saluran ‘Ventricular Septal Defect’ mengalami masalah pada bahagian injap bahagian kanan yang menjadi sempit dan gagal berfungsi dengan sempurna.

“Ini menyebabkan pembedahan perlu dijalankan dengan kos RM70,000 bagi membolehkan sistem pernafasan dan penyaluran darah pada paru-paru berfungsi dengan sempurna, selain kembali sihat seperti kanak-kanak lain.

“Pendapatan saya hanya sekitar RM900 sebulan, manakala isteri, Siti Aminah Man, 36, hanya seorang suri rumah dan selain, Muhammad Haris, kami memiliki seorang lagi anak lelaki berusia 12 tahun.

“Selain menanggung segala pembelanjaan termasuk membesarkan dua anak, kami terpaksa berulang-alik antara Yan ke Hospital Pulau Pinang setiap bulan dan sudah tentu memerlukan perbelanjaan yang besar.

“Sejak Muhammad Haris menghidap penyakit ini, dia sudah menjalani pembedahan pertama ketika usianya 30 hari di GMC untuk membetulkan saluran injap dan pembedahan itu hanya untuk sementara,” katanya.

Sahrom berkata, dia diminta membuat pemeriksaan lanjut di GMC dan anaknya disahkan perlu menjalani pembedahan pada 29 Julai selepas Aidilfitri nanti.

Sementara itu, seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan memerlukan bantuan kewangan RM45,000 apabila turut mengalami masalah sama selain saluran ‘Ventricular Septal Defect’ pada injap gagal berfungsi dengan sempurna.

Muhamad Harraz Mohd Noor disahkan mengalami masalah jantung sejak usia enam bulan dan dia perlu menjalani rawatan serta pembedahan segera.

Bapanya, Mohd Noor Harun, 41, yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Prai berkata, Muhamad Harraz dimasukkan ke Hospital Sungai Bakap pada Ogos tahun lalu.

Beliau berkata, anak bongsu daripada tiga beradik itu menjalani pembedahan pertama pada 20 Julai tahun lalu selepas keadaan fizikalnya berubah dan memerlukan pemerhatian pakar perubatan sebelum perlu menjalani pembedahan kedua pada 12 Julai depan.

“Saya memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan manakala isteri, Chenawori Saluemae, 33, hanya seorang suri rumah dan kami memiliki dua lagi anak.

“Saya amat berharap agar pembedahan anak bongsu kami ini dapat dilakukan dengan kadar segera selain meminta bantuan orang ramai supaya menyalurkan bantuan kewangan,” katanya.

Orang ramai boleh menderma dengan menghantar cek atau wang pos kepada The New Straits Times Press (M) Bhd, Bahagian Kewangan/Tabung Kebajikan NSTP, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur dengan menulis nama kanak-kanak terbabit di belakang cek.

Disiarkan pada: July 2, 2016 @ 5:21am
d