mutakhir

Gagal lintas sempadan

Oleh Nordiana Shafiee

Bukit Kayu Hitam: Seorang lelaki yang disenaraihitamkan ditahan ketika cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Keselamatan (KIK), di sini, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 43 tahun itu yang membonceng motosikal Modenas bersama seorang penunggang warga tempatan dipintas anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Bukit Kayu Hitam di Kompleks Zon Bebas Cukai, jam 5 petang.

Ketua Imigresen Bukit Kayu Hitam Nar Azaman Ibrahim berkata, ketika kejadian, beliau bersama anggota membuat pemantauan di laluan bas keluar sebelum menyedari kelibat dua lelaki terbabit yang melalui laluan berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, pihaknya mengarahkan dua lelaki yang menaiki motosikal itu berhenti untuk pemeriksaan tetapi tidak diendahkan, sebaliknya mereka memecut motosikal menghala Thailand.

Katanya, dua anggotanya mengejar motosikal berkenaan sebelum menahan mereka yang mahu melepasi Kompleks Bebas Cukai berhampiran.

“Pemeriksaan awal mendapati pembonceng motosikal itu disenaraihitamkan dan tidak memiliki pasport antarabangsa untuk ke negara jiran ketika kejadian.

“Sementara penunggang motosikal berusia 21 tahun dipercayai ‘runner’ yang membawa lelaki terbabit melintasi negara jiran turut ditahan,” katanya.

Menurutnya, lelaki yang membonceng motosikal itu ditahan mengikut Seksyen 56 (1A)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana cuba melakukan apa-apa kesalahan dengan mengelak daripada diperiksa oleh pegawai imigresen yang bertugas.

Katanya, seorang lagi ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 kerana melindungi orang yang melakukan kesalahan imigresen.

“Imigresen menyita motosikal itu mengikut Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63, manakala pasport Malaysia Antarabangsa milik penunggang motosikal dirampas untuk siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: July 2, 2016 @ 5:43am
d