mutakhir

Berkorban demi nusa [METROTV]

Oleh Mohamad Zulhairie Manzaidi

Rantau Panjang: Kurang seminggu lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri namun 13 pegawai dan 637 anggota Batalion Ke-4 Rejimen Sempadan (RS) setia menjaga keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand.

Mereka ditugaskan untuk memantau pergerakan dan mengekang aktiviti menyalahi undang-undang di sepanjang 168 kilometer (KM) Sungai Golok, bermula dari Pengkalan Kubor, Tumpat hingga ke Batu Melintang, Jeli.

Pegawai Memerintah, Leftenan Kolonel Salleh Mohamad berkata, pihaknya sedia berkorban demi memastikan keamanan negara terjamin ketika rakyat sedang bergembira.

“Perayaan bukan alasan untuk kami mengabaikan tanggungjawab terhadap negara, sebaliknya semakin memperkasakan kawalan dan rondaan di sempadan bagi memastikan tiada aktiviti mencurigakan dan menyalahi undang-undang.

“Kami ada 34 pos di sepanjang Sungai Golok dan setiap pos ditempatkan sejumlah pegawai dan anggota mencukupi. Namun, lokasi sasaran penyeludupan seperti di Lubuk Gong, Munduk dan Rantau Panjang akan diberi perhatian serius.

“Kawalan juga secara 24 jam mengikut prosedur yang sudah ditetapkan. Tiada pengecualian termasuklah ketika 1 Syawal,” katanya ketika ditemui di Pos Tok’O, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau menerima sumbangan 100 pek berbuka puasa program #HMKotakRezeki 2016 untuk diagihkan kepada kakitangan yang bertugas.

Sumbangan disampaikan Ketua Biro Harian Metro (HM) Kelantan Maiamalina Mohamed Amin.

Disiarkan pada: July 2, 2016 @ 6:04am
d