mutakhir

Jangan panik tiada tiket

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Penambahan kira-kira 40 perjalanan setiap hari sebelum Aidilfitri yang disediakan pengusaha bas ekspres dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke seluruh negara membantu warga kota yang menempah perjalanan di saat akhir.

Tinjauan Metro Ahad di TBS, Bandar Tasik Selatan, di sini, semalam mendapati masih ramai lagi perantau yang belum membeli tiket pulang ke kampung dan memilih untuk membeli di saat akhir.

Pelajar universiti awam Siti Nurhidayatul Nadia Zulzaidi, 21, berkata, kebanyakan pelajar akan membeli tiket di saat akhir kerana mahu menghabiskan tugasan dan urusan pengajian di universiti terlebih dahulu sebelum pulang ke kampung.

“Alhamdulillah, tahun ini kami semua dapat balik ke kampung awal berbanding sebelum ini. Tahun lalu, ada di antara kami yang terpaksa balik pada hari raya kerana beli tiket saat akhir.

“Kali ini, tiket yang dibeli untuk perjalanan pada hari sama pun masih ada dan pembaharuan di TBS seperti penambahan kaunter juga wajar diberi pujian,” katanya ketika ditemui di TBS, semalam.

Pembantu pengusaha bas Mohamad Asmawi Husein, 32, berkata, tambahan bas dan perjalanan yang ditawarkan itu memberi peluang kepada penduduk kota untuk berpuasa dan beraya bersama keluarga di kampung.

“Kebiasaannya mereka yang membeli tiket di saat akhir ini jarang dapat pulang awal dan terpaksa menunggu sehingga hari raya untuk bertolak pulang ke kampung.

“Mereka yang membeli tiket awal pun bagus, kerana pihak pengusaha bas boleh meramalkan jumlah penumpang yang masih belum membeli tiket, lalu mereka bersedia dengan bas dan laluan tambahan,” katanya.

Pengurus Operasi Kanan TBS Faizal Redza Redzuan berkata, purata sebanyak 40 destinasi tambahan setiap hari disediakan oleh pengusaha bas ekspres bermula 1 hingga 5 Julai iaitu jarak masa yang selesa untuk penumpang menyusun jadual mereka pulang sebelum 1 Syawal.

“Pihak TBS juga menambah 15 unit kaunter tambahan untuk penumpang membeli tiket menjadikan kesemuanya 70 kaunter supaya orang ramai tidak terlalu lama menunggu untuk beratur.

“Usaha ini bertujuan bagi meningkatkan keberkesanan sistem penjualan tiket dan kemudahan orang ramai kerana diramalkan TBS akan mula dibanjiri warga kota pada Isnin dan Selasa,” katanya.

Disiarkan pada: July 3, 2016 @ 5:20am
d