mutakhir

Padah pukat ikan salah tempat

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Pelabuhan Klang: Cubaan sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri ke negara jiran menggunakan laluan haram terbongkar apabila ditahan penguat kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), kelmarin.

Lima lelaki warga Indonesia termasuk tekong berusia 20 hingga 50 tahun itu dikesan menaiki bot kira-kira 11 batu nautika dari Pulau Pintu Gedung di sini, pada jam 7.20 pagi.

Dalam Op Khas Pagar Laut 1 yang dijalankan di dua lokasi berasingan itu, lapan nelayan warga negara sama turut ditahan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Maritim Selangor Kapten Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, pihaknya mendapati bot jenis ‘barter trade’ sedang bersauh manakala bot nelayan tempatan menjalankan aktiviti penangkapan ikan menggunakan pukat tunda dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot pertama pada jam 7.20 pagi menemui lapan lelaki warga Indonesia termasuk tekong yang didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Ada daripada mereka yang berusia 21 hingga 54 tahun itu turut menggunakan visa tamat tempoh.

“Bagi kes kedua, lima lelaki asing didapati melakukan kesalahan melanggar syarat sah lesen dan turut tiada dokumen pengenalan diri,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, semua yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Selangor untuk siasatan lanjut.

“Mereka ditahan mengikut Seksyen 5 (1) Akta Imigresen 1959/63 iaitu keluar atau masuk melalui kawasan yang tidak diwartakan dan Akta Perikanan 1985 kerana menggaji pekerja asing tanpa kebenaran.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007,” katanya.

Mohd Rosli berkata, pihaknya akan menjalankan operasi itu secara berterusan bagi membanteras PATI yang menggunakan laluan laut untuk keluar masuk ke negara ini dan hanya memberi keuntungan kepada tekong haram.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 9:13am
d