mutakhir

Didik ilmu imunisasi

Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan terus mendidik orang ramai mengenai kepentingan imunisasi kepada anak mereka sebelum mengambil keputusan untuk mewajibkannya.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, pendidikan dan penjelasan ilmiah diberi kepada komuniti ini secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan ibu bapa berhubung kepentingan memberikan vaksin kepada anak mereka.

“Buat masa ini, kami belum bercadang mewajibkan suntikan vaksin kepada pelajar sekolah.

“Malah, terlalu sedikit negara mewajibkan pemberian vaksin ini, disebabkan ada cara lain seperti mendidik dan memberikan maklumat mengenai kepentingan imunisasi,” katanya pada majlis peletakan batu asas bagi membina bangunan tambahan di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ampang di sini, semalam.

Menurut Dr Subramaniam, kerjasama dijalankan dengan Kementerian Pendidikan masih berjalan termasuk program jururawat melawat sekolah bagi memberi penerangan berhubung kepentingan imunisasi.

“Anggota kesihatan memberi penerangan berkaitan imunisasi dan vaksin kepada masyarakat seperti dari sudut agama dan berkemungkinan kesan buruk yang boleh berlaku kepada anak mereka.

“Ibu bapa perlu tahu vaksin selamat dan ia tidak akan digunakan kementerian jika tidak melalui ujian percubaan,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya memfokus kepada tiga golongan iaitu golongan tinggal secara nomad, miskin dan antivaksin.

Mengenai kelompok antivaksin, beliau berkata, kementerian meningkatkan pendekatan untuk mengubah persepsi negatif mereka terhadap imunisasi.

Menurut Dr Subramaniam, perbuatan dilakukan kelompok antivaksin ini bukan saja memberikan kesan terhadap mereka, malah kesannya turut ‘terkena’ kepada masyarakat sekeliling.

“Apa yang dilakukan oleh segelintir ibu bapa yang enggan memberikan imunisasi ini tidak adil kepada yang lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 9:26am
d