mutakhir

Bakti 35 tahun

Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: “Sudah tiba masa saya berehat,” kata Pengarah Kastam Johor Datuk Ramli Johari ketika mengulas mengenai persaraannya dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berkuat kuasa 10 Julai ini.

Ramli berkata, banyak pengalaman dilalui sepanjang 35 tahun sembilan bulan berkhidmat dengan JKDM bahkan sudah dua kali beliau ditugaskan untuk memegang tampuk kuasa JKDM Johor bermula 1984.

“Jika dihitung tempoh perkhidmatan dengan JKDM, ia menjangkau usia 35 tahun, sembilan bulan dan 10 hari malah ini kali kedua saya bertugas di Johor.

“Kali pertama bertugas selama 12 tahun pada 1984 dan kali kedua, saya diberi tanggungjawab bertugas di negeri ini bermula 2008,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Menara Kastam Johor di Larkin di sini, semalam.

Menurut beliau, kejayaan paling besar diperoleh ketika Sambutan Hari Kastam Sedunia 2016 ke-34 Peringkat Negeri Johor di JKDM Johor, 28 Januari lalu.

“Ia membabitkan kejayaan JKDM Johor mematahkan penyeludupan rokok dengan nilai dan cukai dianggarkan RM6.1 juta pada serbuan membabitkan kontena, 26 Januari lalu.

“Kami turut menahan seorang wanita warga Singapura berusia 20-an yang melambakkan kenderaan mewah terpakai di beberapa lokasi di sekitar bandar ini. Wanita terbabit ditahan bersama 26 kenderaan mewah dengan nilai cukai dianggarkan RM1.8 juta pada serbuan di Taman Perling, 20 Januari lalu,” katanya.

Paling membanggakan anak kelahiran Raub, Pahang itu ialah rampasan kenderaan mewah terpakai terbabit susulan maklumat diterima daripada orang ramai serta Cawangan Risikan Kastam.

Kenderaan mewah itu diseludup dari Singapura ke kediaman suspek. Antara yang dirampas ialah Toyota Alphard, Toyota Lexus dan Honda Integra.

Beliau berkata, cabaran paling besar melaksanakan tugasan di negeri ini adalah membanteras aktiviti penyeludupan.

“Ini kerana, kita di Johor banyak tempat-tempat masuk malah pantai kita panjang dan kita bersempadan dengan Indonesia serta Singapura. Jadi, pada bila-bila masa penyeludup boleh menyeludup dan ia cabaran besar bagi JKDM,” kataya.

Berkaitan harapannya kepada JKDM, beliau berharap kekosongan jawatan membabitkan anggota bersara dapat diisi dengan cepat.

“Walaupun ketika ini ada kira-kira 2,400 kakitangan di seluruh negeri ini dan ia mencukupi tetapi kekosongan bagi mereka yang bersara sangat diperlukan secepat mungkin,” katanya.

Pada masa sama, beliau berterima kasih di atas kerjasama diberikan media Johor dalam membantu JKDM melaporkan maklumat berkaitan rampasan di negeri ini.

“Saya berterima kasih kepada semua media kerana sentiasa memberi sokongan kepada JKDM khususnya kepada saya yang menerajui JKDM Johor.

“Anda bersama kami apabila dijemput hadir dan kita dapat berinteraksi dari semasa ke semasa,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 9:42am
d