mutakhir

Pendam rindu di perbatasan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Gerik: Hati mana yang tidak sayu apabila mendengar laungan takbir di pagi Syawal. Namun bagi anggota keselamatan yang bertugas di perbatasan, ia adalah perkara biasa walaupun di hati masing-masing tersemat perasaan rindu dan sebak mengenangkan keluarga di kampung.

Bagi Batalion Keenam Rejimen Renjer Diraja (RRD) yang berpangkalan di Ulu Tiram, Johor, tugas mengawal sempadan Malaysia-Thailand di Kem Marker November, Tasik Banding daripada dicerobohi oleh musuh adalah lebih penting daripada segala-galanya.

Walaupun mereka terpaksa menyambut Aidilfitri di sempadan, namun tidak bererti mereka harus melupakan segala keseronokan berhari raya dengan mencipta suasana seperti di kampung halaman.

Hanya dengan cara itu, rasa terharu dan pilu di hati masing-masing dapat dilupakan.

Bagi Koperal Mohd Najeb Bakar, 31, dia berkorban menyambut Aidilfitri bersama keluarga di kampung demi tugas, walaupun sudah tiga kali beraya di perbatasan.

“Tahun ini adalah tahun ketiga saya tidak dapat bersama selepas dua kali beraya di Lubnan kerana menyertai misi Malaysian Batalion (MALBATT) di sana.

“Lebih memeritkan apabila terpaksa meninggalkan dua anak berusia empat bulan dan tiga tahun beraya tanpa ayah tersayang, namun bagi saya mereka adalah semangat saya untuk terus menjaga perbatasan negara daripada dicerobohi,” katanya.

Mohd Najeb berkata, walaupun mereka turut membakar lemang, ia tidak dapat menandingi keenakan lemang yang disediakan ibunya di Sekinchan, Selangor.

Menurutnya, selain meronda, rutin harian tugasnya memeriksa pagar keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand daripada ditembusi terutamanya pendatang tanpa izin yang menggunting pagar sempadan untuk menyeludup masuk ke negara ini.

“Sebab itulah kawalan terpaksa dipertingkatkan walaupun pada hari raya kerana bimbang pendatang itu akan mengambil kesempatan memasuki negara ini pada musim perayaan ini,” katanya.

Namun lain pula bagi Pegawai Perubatan Batalion Keenam RRD Leftenan Dr Muhammad Khir Zikri Abdul Mutalib, 28, kerana Aidilfitri tahun ini adalah pengalaman pertamanya beraya di perbatasan.

“Selepas berkhidmat selama tiga tahun di RRD tahun ini tahun pertama saya di perbatasan dan terasa sedih meninggalkan keluarga di Batu Pahat, Johor.

“Namun kerana tenaga saya diperlukan negara, maka saya terpaksa berkorban dan akan memastikan tanggungjawab yang diberikan dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 9:48am
d