mutakhir

Abang bomba pulang RM30,000

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Sikap jujur anggota bomba yang menemui wang tunai mencecah RM30,000 sebelum dikembalikan kepada pemiliknya wajar dihargai masyarakat, malah ia turut menggambarkan kemuliaan profesion sebagai anggota bomba.

Difahamkan, wang berkenaan diserahkan kepada pemiliknya, Teo Kian Yong, 42, yang sebelum itu kerugian selepas kedai menjual peralatan ibadat di Taman Penggawa Barat terbakar, jam 4 petang, Jumaat lalu.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru Khairul Azhar berkata, anggotanya, Hairul Mat Nin cuba menyelamatkan barangan di kedai itu apabila terjumpa ikatan wang tunai di sebuah bilik di tingkat atas premis.

“Wang tunai itu dalam mata wang asing dan ringgit dikembalikan kepada Teo. Kami memuji sikap dan kejujuran Hairul yang mengembalikan wang itu dan berharap semua anggota bomba terus mengamalkan sifat terpuji sama,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam kejadian itu, Teo dapat menyelamatkan diri, namun mengalami kerugian selepas premisnya musnah dalam kebakaran.

Bomba dan penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira 20 minit selepas mendapat panggilan kebakaran jam 4.13 petang. Api dikawal jam 5.10 petang.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 9:50am
d