mutakhir

Arwah emak ingin keluarga berkumpul di Sabah

Oleh myMetro

Teluk Intan: “Baru-baru ini arwah ibu bersungguh-sungguh mahu seluruh keluarga membuat Hari Keluarga di Sabah. Pada mulanya kami tidak mahu, tapi mengalah apabila arwah ibu bersungguh-sungguh mahukannya.

“Kami tidak menyangka ia permintaan terakhirnya sebelum pergi meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Mohd Shahril Mohd Alias, 24, anak kepada Sabariah Hashim, 55, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 13, Jalan Teluk Intan - Sungai Manik, dekat sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.24 petang, Sabariah meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan (HTI) manakala penumpang kereta yang juga anak bongsu mangsa, Nurul Ashikin Mohamad Alias @ Ayit, 20, cedera selepas kereta dipandu Sabariah terbabas dan merempuh pokok kelapa.

Mohd Shahril berkata, sebelum kejadian ibu bersama adik bongsunya dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Kota Muhibbah, Jalan Kampung Banjar, di sini, selepas membeli barangan keperluan raya di Langkap.

“Arwah ibu bersama adik pergi membeli persiapan hari raya dan mereka berdua keluar rumah awal pagi.

“Saya menerima panggilan daripada abang ipar memaklumkan ibu kemalangan. Ibu sempat membuat panggilan kepada abang ipar sebelum meninggal dunia ketika menerima rawatan,” kata anak ketujuh daripada sembilan beradik itu.

Seorang lagi anak perempuan arwah Sabariah, Ainun Bariah, 26, berkata, dia baru sahaja melahirkan anak kedua pada 26 Jun lalu dan arwah ibu berjanji mahu memasak rendang daging rusa khas untuknya pada hari raya ini.

“Saya sedih tidak sempat berhari raya bersama ibu. Ibu janji masak rendang rusa, tetapi tidak kesampaian. Kami sekeluarga terasa pemergian ibu tersayang dan tidak akan dapat menyambut Aidilfitri bersama kali ini.

“Walaupun sedih, tetapi kami semua terima dan reda pemergian ibu,” katanya ketika di temui di Wad 1A, Hospital Teluk Intan semalam.

Manakala Nurul Ashikin yang terbabit dalam kemalangan masih belum sedarkan diri.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 10:01am
d