mutakhir

100% mata CCTV

Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menggunakan ratusan kamera litar tertutup (CCTV) di semua lebuh raya menghala ke utara, timur dan selatan tanah air untuk mengawasi lalu lintas sempena cuti Aidilfitri ini.

Jurucakapnya berkata, selain mengawasi kesesakan lalu lintas, pihaknya turut memantau kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan.

“Kita bergantung 100 peratus dengan kamera CCTV yang dipasang di seluruh lebuh raya selain panggilan pengguna berhubung keadaan terkini lalu lintas.

“Sekiranya kita melihat ada kenderaan yang menggunakan lorong kecemasan, LLM akan memaklumkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mengambil tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Katanya, bermula Jumaat lalu, kenderaan yang keluar dari ibu negara secara berperingkat dilihat normal dan semua lebuh raya tidak menunjukkan sebarang kesesakan.

“Kita jangkakan malam ini (semalam) pertambahan kenderaan mula bergerak keluar dari ibu kota untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Mungkin ramai masih berada di ibu kota untuk membeli-belah dan dijangka mula bergerak malam ini (semalam) dan esok (hari ini),” katanya.

Menurutnya, bermula semalam kenderaan berat mula memasuki lebuh raya selepas larangan kepada kenderaan itu tamat pada jam 12 tengah malam tadi (kelmarin).

“Bagaimanapun, larangan itu akan berkuat kuasa kembali pada 9 dan 10 Julai ini.

“Apa yang membimbangkan kami, 9 dan 10 Julai ini dijangka kesesakan luar biasa kerana orang ramai mula memasuki ibu negara. Bayangkan jika 5.5 juta kenderaan keluar dari ibu kota, itulah jumlah yang akan memasuki ibu negara selama dua hari,” katanya.

Berikutan itu, LLM menasihatkan orang ramai mematuhi panduan trafik menerusi Jadual Cadangan Waktu Puncak Perjalanan (TTA) yang sudah dikeluarkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan ANIH Berhad bagi mengelak kesesakan teruk.

Pengguna boleh menghubungi talian Pusat Pengurusan Trafik LLM yang beroperasi 24 jam di talian 1800887752 atau layari laman sesawang www.llm.gov.my, Facebook Lembaga Lebuhraya Malaysia serta Twitter llminfotrafik untuk sebarang bantuan dan maklumat perjalanan.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 10:06am
d