mutakhir

Rezeki rumah baru tak putus-putus

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam : “Sejak menerima liputan Harian Metro (HM) dan berpindah ke rumah baru minggu lalu, kami tidak putus menerima kunjungan orang ramai termasuk penduduk setempat yang prihatin menghulurkan pelbagai sumbangan dan bantuan.

“Alhamdulillah, keperluan menyambut Aidilfitri mencukupi dan hanya Allah mampu membalas jasa serta budi semua kepada kami sembilan beranak ini,” kata Jasmin Mohd Sharif, 35.

Pemandu van kontrak itu bersama isteri dan tujuh anaknya yang masih kecil pernah menjadi viral kerana terpaksa bermalam di dalam sebuah van selepas dihalau akibat tidak membayar tunggakan sewa rumah.

Keperitan selama seminggu ditempuh keluarga malang itu bagaimanapun berakhir apabila mendapat perhatian segera Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang menghulurkan bantuan termasuk menyediakan rumah sewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Hicom, Seksyen 25, di sini.

Semalam, akhbar ini menerusi program #HMKotakRezeki 2016 turut menyerahkan kotak famili kepada keluarga itu sebagai tanda keprihatinan HM membantu golongan kurang bernasib baik dan memerlukan.

Jasmin berkata, selain HM, dia sekeluarga amat terharu dengan keprihatinan semua pihak terutama individu perseorangan yang masih datang ke rumahnya sehingga ke hari ini.

“Kebanyakan mereka membawa pelbagai barangan keperluan asas dan turut memberikan duit raya untuk perbelanjaan membeli pakaian semua anak saya.

“Saya sememangnya tidak menyangka diterima baik seumpama ini dan ternyata Allah sentiasa membantu hamba-Nya yang lemah. Selain itu, saya berterima kasih kepada HM kerana turut menghulurkan sumbangan, sekali gus meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.

Dia berkata, ketika ini dia hanya menumpukan sepenuhnya kepada persediaan menyambut lebaran terutama membeli keperluan raya tujuh anaknya.

“Saya akan mula bekerja semula secara kontrak dengan beberapa syarikat perfileman dan televisyen selepas 12 Julai ini dan dijangka berterusan sehingga hujung tahun,” katanya yang tidak menyalahkan sesiapa dengan nasib keluarganya dan reda dengan ketentuan Ilahi.

Program #HMKotakRezeki 2016 antara inisiatif berterusan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Harian Metro bagi membantu golongan memerlukan sesuai dengan slogan sambutan ulang tahun ke-25 akhbar ini iaitu Menyelami Jiwa Masyarakat.

Penaja utama program HM#KotakRezeki ialah Affin Bank Group dan Affin Islamic Bank selain mendapat kerjasama Wah Chan Consolidated, Comfort, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, The Italian Baker Sdn Bhd, Yeo’s, Tupperware Brands Sdn Bhd serta rakan kurier Pos Laju.

Disiarkan pada: July 4, 2016 @ 10:23am
d