mutakhir

Mata Ustaz Kazim terjejas akibat diabetes

Oleh myMetro

Ipoh: Selepas diserang sakit jantung ketika memberi ceramah pada 19 Februari lalu, pendakwah bebas Datuk Mohamad Kazim Elias terus diuji apabila penyakit diabetes menyebabkan mata kirinya berkemungkinan sedikit terjejas.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim berkata, rawatan jantung dijalaninya sebelum ini memberikan kesan baik dan kini tahap kesihatannya semakin pulih.

Katanya, walaupun pulih dari penyakit jantung namun diabetes dialami sedikit membimbangkan apabila mata kirinya mengalami gangguan akibat bacaan gula yang tinggi.

“Walaupun begitu, saya memulakan ceramah seperti biasa cuma tidak lagi sehari sehingga tiga tempat,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Ustaz Kazim berkata, beliau kini mengehadkan dalam sebulan hanya memenuhi 20 undangan ceramah dengan setiap hari satu ceramah saja.

Bercerita mengenai aktiviti hariannya, Ustaz Kazim berkata, beliau kini lebih banyak menumpukan kepada pengurusan serta pengajaran di Pusat Pendidikan Al Barakah dan berterima kasih dengan sokongan daripada kakitangannya.

“Jiwa saya pada Al Barakah kerana di sinilah kekuatan saya dan terima kasih kepada semua yang membantu dan mendoakan kesihatan saya,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2016 @ 9:56am
d