mutakhir

Suram tanpamu...

Oleh Fuad Hadinata Yaacob

Kuala Kubu Bharu: Hampir sembilan bulan Jashiah Rabu, 53, hilang dari rumahnya di Taman Seri Seruling dekat sini pada 23 Oktober lalu dan sepanjang tempoh itu jugalah suami,anak-anak serta ahli keluarganya tidak putus-putus berdoa dan berusaha mencarinya.

Namun ketibaan Ramadan dan Syawal kali ini tidak seceria seperti tahun sebelumnya apabila Jashiah yang paling sibuk membuat persiapan tiada di sisi ahli keluarganya.

Suaminya, Ruzilan Omar, 53, berkata, bulan puasa dan hari raya tahun ini tidak semeriah seperti tahun lalu dan sebelumnya malah ini kali pertama mereka berpuasa dan menyambut hari raya tanpa Jashiah.

“Kami sentiasa merindui dan mengingatinya malah sedih ketika umat Islam berpuasa dan menyambut hari raya bersama keluarga serta sanak saudara kami menyambutnya tanpa isteri dan ibu.

“Begitupun saya turut membuat persiapan secara ala kadar terutama membeli baju anak-anak supaya mereka gembira menyambut Syawal,” katanya.

Jashiah yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Keramat Satu, Kuala Lumpur hilang dari rumahnya di Taman Seri Seruling pada 23 Oktober lalu dan sehari kemudian dilihat di kawasan perkampungan Orang Asli Buloh Telor, 10 kilometer dari rumahnya.

Sehingga kini Jashiah masih belum ditemui dan usaha mencarinya giat dilakukan ahli keuarganya sehingga hari ini.

Ruzilan berkata, pada hari raya ini dia bersama anak-anak balik ke rumah ibu bapanya di Batu Pahat, Johor dan hari raya kedua nanti ke rumah mentuanya di Merlimau, Melaka.

Menurut Ruzilan, pada hari raya Jashiah bersama adik beradiknya akan memasak beberapa jenis rendang dan ia antara kenangan manis menjelangnya hari raya.

“Saya kini hanya berserah ke hadrat Allah SWT kerana setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

“Ketika di Melaka nanti, kami akan membaca surah Yassin dan tahlil seterusnya berdoa supaya dapat menemui isteri saya,” katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2016 @ 10:11am
d