mutakhir

Solat Aidilfitri bersama rakyat

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

Kuala Lumpur: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, pagi ini.

Keberangkatan Sultan Nazrin disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir kira-kira jam 8.30 pagi .

Manakala Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, pagi ini bersama lebih 1,000 umat Islam.

Baginda tiba pada jam 8.20 pagi diiringi Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan anakanda yang lain iaitu Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar.

Turut menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama ialah Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sementara itu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang, Kuala Terengganu, pagi ini.

Sultan Mizan tiba jam 8.10 pagi dan turut disertai Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah dan Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail.

Mengiringi baginda bertiga, Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri Halina Zakaria; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda serta Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Di Pahang pula, kira-kira 1,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah, Kuantan, pagi tadi.

Baginda berangkat bersama isteri, Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta anak-anaknya dan tiba di perkarangan masjid itu kira-kira jam 8.40 pagi.

Sementara itu di Kedah, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah yang juga Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah tiba jam 8.50 pagi tadi untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir, di sini, bersama lebih 2,000 umat Islam.

Baginda bersama isteri Puan Temenggong Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff turut bersalaman dengan umat Islam yang hadir di masjid itu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Disiarkan pada: July 6, 2016 @ 11:00am
d