mutakhir

Lelaki beraya di hospital

Oleh Omar Osman

Sungai Petani: Seorang lelaki berusia 22 tahun terpaksa beraya di hospital selepas mengalami kecederaan parah apabila motosikal ditunggangnya bersama teman wanitanya terbabas diJalan Padang Temusu, Sungai Petani, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.50 malam itu, sebaik tiba di lokasi kejadian motosikal mangsa hilang kawalan dan bergesel pembahagi jalan sebelum terbabas.

Akibat kejadian itu, mangsa terpelanting dan cedera di kepala dan badan, manakala teman wanitanya hanya mengalami kecederaan ringan.

Difahamkan sebelum kejadian itu, mangsa dan wanita terbabit berbuka puasa di Taman Sejati sebelum mereka membeli kasut raya lelaki itu.

Saksi yang mahu dikenali sebagai Ismail, 45, berkata, sebelum kejadian itu dia menunggang motosikal di belakang pasangan terbabit.

Menurutnya, bagaimanapun sebaik melepasi lampu isyarat Jalan Padang Temusu, di sini, motosikal ditunggang mangsa itu hilang kawalan dan bergesel pembahagi jalan sebelum terbabas.

"Waktu itu, saya lihat lelaki terbabit melambung jatuh dan kepala serta muka terkena tebing simen pembahagi jalan sebelum tertiarap dan tidak bergerak dan rakannya jatuh ke laluan sebelah.

"Saya kemudian berhenti dan berlari ke arah mangsa bagi membantunya bersama orang ramai,”€ katanya.

Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

Disiarkan pada: July 6, 2016 @ 11:48am
d