mutakhir

Jeritan penggera

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Subang Jaya: Rancangan jahat sekumpulan perompak cuba memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) diletakkan di dalam pasar raya di sini, awal pagi semalam, gagal apabila mesin berkenaan tiba-tiba ‘menjerit’.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi itu, empat lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang sempat mengikat tiga pengawal keselamatan pasar raya terletak di Putra Heights, di sini.

Suspek kemudian cuba memecahkan mesin ATM itu menggunakan besi kuku kambing dan parang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Superintendan Lee Swee Meng berkata, siasatan awal mendapati tiga pengawal keselamatan yang berada di bilik kawalan diserang mendadak empat lelaki tidak dikenali.

“Suspek memakai topeng, bersarung tangan dan bersenjatakan parang. Suspek mengacukan parang kepada tiga mangsa sebelum mengikat mereka menggunakan tali.

“Salah seorang daripada suspek ditugaskan mengawal mangsa manakala tiga lagi penjenayah memecah masuk pasar raya itu melalui pintu di belakang bangunan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, suspek kemudiannya menuju ke tingkat satu bangunan dan cuba memecahkan dua mesin ATM dengan menggunakan kuku kambing dan parang namun tidak berjaya.

“Tidak berpuas hati, suspek kemudian ke aras bawah bangunan dan cuba memecah dua mesin ATM lain menggunakan alatan sama.

“Bagaimanapun alat penggera keselamatan salah sebuah mesin ATM berkenaan tiba-tiba mengeluarkan bunyi kuat,” katanya.

Akibatnya suspek panik sebelum bergegas melarikan diri tanpa berjaya memperoleh wang di dalam mesin ATM itu.

“Suspek juga dikesan cuba memecah masuk sebuah premis bank yang terdapat di dalam pasar raya itu.

“Pihak polis kemudian menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian,” katannya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati tiada wang yang hilang daripada semua mesin ATM yang cuba dipecahkan suspek.

“Polis juga meneruskan siasatan termasuk mengesan cap jari dan melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.

“Polis turut menemui tali, sebilah parang, sehelai baju, pemutar skru, besi kuku kambing dan empat keratan wayar di lokasi kejadian yang ditinggalkan penjenayah. Kes akan disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 9, 2016 @ 7:23am
d