mutakhir

Ular bawah kuali

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Seorang wanita warga emas dimasukkan ke hospital selepas dipatuk ular tedung yang memasuki kediamannya di Kampung Kuala Kuang, di sini, kelmarin dan susulan kejadian itu bomba yang dihubungi untuk bantuan terpaksa membunuh reptilia berbisa berkenaan.

Dalam kejadian jam 1.45 petang, mangsa Zabidah Abdul Ghani, 75, dipatuk ular sepanjang satu meter di tangan kanannya ketika ingin mengambil barang di dalam bilik air di rumahnya.

Zabidah berkata, ketika kejadian hanya dia bersama menantu perempuan serta beberapa cucu berada di rumah, manakala anak serta cucu lelakinya ke masjid berhampiran untuk menunaikan solat Jumaat.

“Ketika itu, saya ingin mengambil barang diletak di belakang kuali yang digantung di dinding bilik air
namun sebaik menyingkap kuali berkenaan tangan kanan saya dipatuk ular berkenaan.

“Saya terperanjat sambil menjerit dan menyentap tangan sebelum melihat kelibat ular itu keluar dari bawah kuali di dinding bilik air,” katanya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.

Menurutnya, jeritannya didengari menantu perempuannya yang menghubungi talian kecemasan 999 untuk meminta bantuan.

“Pihak Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan ambulans tiba tidak berapa lama kemudian namun gagal menemui atau menangkap binatang berbisa itu.

“Saya ditemani menantu dihantar ke hospital dengan ambulans dan dimasukkan ke unit kecemasan untuk rawatan segera,” katanya.

Zabidah berkata, pihak hospital bagaimanapun sukar memberikan rawatan segera kerana tidak mengetahui jenis ular yang mematuk dan perlu mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.

“Saya difahamkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh yang datang ke rumah berjaya menangkap dan membunuh ular berkenaan di dalam rumah pada petang hari sama.

“Bangkai ular dibawa ke hospital dan pihak pakar memeriksanya sebelum memberikan anti-venom kepada saya,” katanya.

Menurutnya, dia bernasib baik kerana patukan ular tedung itu tidak terbenam di dalam tangannya dan hanya sedikit bisa memasuki badan, namun masih perlu menjalani pemeriksaan susulan dan belum dibenarkan keluar hospital.

“Saya bersyukur kejadian itu tidak menimpa anak atau menantu dan cucu yang masih beraya di rumah,” katanya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian pada jam 3.36 petang daripada pemilik rumah yang memberitahu ibunya dipatuk ular dan sepasukan bomba ke lokasi kejadian memberi bantuan.

“Sejurus tiba kami dapati ular berbisa sepanjang satu meter berada di dapur rumah berhampiran sinki.

“Bomba terpaksa membunuh ular berkenaan menggunakan kayu kerana ia mengancam nyawa dan perlu diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: July 10, 2016 @ 5:19am
d