mutakhir

Harap bertemu anggota, pegawai tragedi Kalabakan

Butterworth: “Kami harap dapat bertemu semula sementara nyawa masih dikandung badan,” demikian kata Pegawai Waran (B) Mokhtar Hassan, 78, yang cuba memohon pihak berkenaan agar dapat mengumpulkan kembali pegawai dan anggota yang terbabit dengan peristiwa Kalabakan, Sabah pada 29 Disember 1963.

Mokhtar berkata, sejak peristiwa itu, ada antara mereka sudah tidak bertemu lebih 60 tahun dan ada yang sudah meninggal dunia.

Katanya, sejak kejadian itu, dia berjumpa beberapa rakannya yang masih dapat dihubungi manakala selebihnya gagal dihubungi kerana berpindah ke tempat lain.

Menurutnya, melalui Yayasan Bekas Komando Malaysia, dia ada menghantar surat berkenaan tujuan mengumpulkan bekas veteran tentera 3 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang terbabit dalam kejadian bersejarah itu.

“Saya pernah menghantar surat kepada pihak Kementerian Pertahanan dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM pada 2013 menyatakan hasrat berkenaan dan menerima jawapan agak mengecewakan.

“Di dalam surat jawapan JHEV, mereka menyatakan saya yang perlu mengesan sendiri veteran berkenaan,” katanya.

Mokhtar berkata, tujuan utama surat itu dihantar kepada JHEV untuk mendapatkan bantuan dalam mencari dan mengesan veteran yang terbabit dalam peristiwa itu kerana pihak mereka sepatutnya mempunyai rekod berkaitan.

Beliau berkata, peristiwa berdarah Kalabakan adalah satu nostalgia yang tidak dapat dilupakan oleh mereka yang terbabit dalam serangan hendap berkenaan.

“Kami bukan minta agar diberi anugerah dan wang ringgit, namun cukup untuk sekadar berjumpa dan melihat kembali lokasi kejadian berkenaan selagi masih bernyawa,” katanya.

Disiarkan pada: July 11, 2016 @ 9:57am
d