mutakhir

'Kami tak akan beri muka'

Oleh Suraya Roslandan Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan penyeludupan rokok seludup walaupun menggunakan pelbagai modus operandi.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, walaupun menggunakan taktik licik untuk mengaburi mata pihak berkuasa termasuk menggunakan lori babi, pihaknya tidak akan memejam mata dan akan terus menggempur sindiket berkenaan.

“Saya ingin tegaskan, tidak kira apa bentuk modus operandi digunakan (penyeludup), JKDM akan terus menjalankan tindakan penguatkuasaan ke atas mereka, ” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar ini, semalam mengenai taktik jijik dan kotor namun demi keuntungan lumayan sindiket pengedaran rokok sanggup melakukan apa saja termasuk menggunakan lori babi bagi menyeludup rokok dari pintu sempadan ke destinasi tertentu.

Kaedah itu disifatkan paling berjaya dengan beranggapan anggota pihak berkuasa tidak akan melakukan pemeriksaan kerana lori yang digunakan membawa haiwan yang sensitif kepada umat Islam.

Sebanyak 2,564 kes rokok seludup direkodkan pada tahun lalu membabitkan sejumlah 583 juta batang rokok dengan nilai RM48.13 juta serta cukai atau duti terbabit RM314.50 juta.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti penyeludupan boleh menghubungi JKDM di talian 1-800-88-8855.

Disiarkan pada: July 12, 2016 @ 9:42am
d