mutakhir

Cuba kawal bas daripada terbalik [METROTV]

Oleh myMetro

Ipoh: “Saya yang tidur di tempat tidur pemandu terjaga apabila mendengar jeritan penumpang dan ketika itu saya lihat bas meluncur laju di lorong tengah lebuh raya sebelum merempuh beberapa kereta di depan,” kata Zakaria Ahmad, 50.

Zakaria pemandu utama bas ekspres yang merempuh 10 kereta di Kilometer 265.8 Lebuhraya PLUS arah selatan berhampiran Terowong Menora, kelmarin.

Katanya, dia turut melihat rakan sekerja yang juga pemandu kedua cuba sedaya upaya mengawal dan memperlahankan bas bagi mengelak kenderaan itu daripada terbalik yang mungkin boleh mengakibatkan kemalangan jiwa terutama membabitkan penumpang.

Menurutnya, rakannya itu hanya mampu memperlahankan kenderaan dengan menukar kepada gear rendah kerana brek angin bas tidak berfungsi dipercayai mengalami masalah teknikal.

“Sebagai pemandu bas, dalam situasi sedemikian terutama ketika mengalami kegagalan brek serta bas meluncur laju akibat menuruni cerun, pemandu memang tidak boleh menarik brek tangan kerana ia lebih membahayakan keadaan serta boleh menyebabkan bas terbalik dan pemandu juga tidak boleh menghimpit ke tepi kerana ada longkang dan batu pembahagi lebuh raya,” katanya.

Disiarkan pada: July 12, 2016 @ 10:10am
d