mutakhir

Dron 'tangkap' penceroboh

Oleh Mohd Rafi Mamat

Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengorak langkah ke depan apabila menggunakan dron untuk menjalankan aktiviti berkaitan penentuan sempadan kawasan hutan, menghasilkan pelan dan penguatkuasaan terhadap kegiatan pencerobohan.

Dengan dron, imej di atas tanah dapat dilihat dengan jelas dan tepat seterusnya memberi lebih peluang kepada agensi berkenaan menentukan setiap kesalahan yang berlaku.

Pengarah JPNP Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata, kakitangan yang cekap dan terlatih kini diperlukan untuk mengawal dron dengan baik terutama di kawasan hutan dan berbukit yang dianggap mencabar.

Menurutnya, bagi melahirkan individu yang cekap, kursus asas penggunaan dron kali pertama dianjurkan Unit Penguat Kuasa (UPK) Pahang Timur di Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan/Pekan/Maran, baru-baru ini yang disertai 20 peserta terdiri anggota UPK Pahang Timur dan Barat.

Katanya, kursus dua hari membabitkan teori dan amali itu mendapat kerjasama syarikat Geoprecision Sb yang turut bertanggungjawab membekalkan dua unit dron kepada JPNP selain kepakaran yang ada pada syarikat berkenaan dikongsi dengan kakitangan terbabit.

“Saya berharap dengan ada dron aktiviti penentuan sempadan kawasan lesen dan sub-lesen menjadi lebih mudah dan tepat selain tidak memerlukan tenaga kerja yang terlalu ramai seperti sebelum ini.

“Pelan lebih tepat dapat dihasilkan dengan dron apabila imej dihasilkan lebih luas tanpa banyak masalah, imej diambil akan diproses menggunakan sistem sedia ada,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan menambah jumlah dron secara berperingkat mengikut keperluan dengan semua PHD di negeri ini akan dibekalkan kemudahan itu.

“Untuk membantu mengawal aktiviti pencerobohan kawasan hutan di Cameron Highlands seperti yang berlaku sebelum ini, saya yakin penggunaan dron amat sesuai dan berkesan.

“Saya difahamkan sebelum ini, ada beberapa pegawai hutan di Temerloh, Lipis, Pekan dan Jerantut sudah menggunakan dron untuk melancarkan lagi tugas mereka,” katanya.

Penolong Pengarah Kanan UPK Pahang Timur Zahariah Zainal Abidin yang juga pengerusi penganjur kursus berkata, beberapa kursus lanjutan akan diadakan selepas ini dengan kerjasama Pusat Latihan Perhutanan Pahang (PLPP).

“Dengan adanya kursus berkenaan saya yakin kakitangan lebih mahir mengawal dron seterusnya mampu menghasilkan imej lebih tepat dan berkualiti bagi kemudahan jabatan.

“Saya yakin dalam masa dua hingga tiga tahun akan datang penggunaan dron akan lebih meluas membabitkan semua pejabat hutan daerah dan yang lebih penting dapat digunakan sepenuhnya oleh UPK Pahang Timur dan Barat,” katanya.

Pengawas Hutan Mohd Hashim Ahmad, 52, yang bertugas dengan UPK Pahang Timur berkata, kursus itu memberi pendedahan terhadap cara mengawal dron selain mendapatkan imej berkualiti.

“Kali pertama memegang alat kawalan, perasaan takut dan bimbang begitu menebal, hanya sedikit kesilapan dron akan jatuh dan terlanggar pokok yang menyebabkan kerugian besar kepada jabatan.

“Hanya kemahiran saja dapat menjadikan dron sebagai ejen yang dapat memudahkan lagi tugas kakitangan jabatan ketika bertugas di lapangan, dengan ada dron kami tidak lagi perlu mendaki bukit dan berjalan jauh ke dalam hutan,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2016 @ 9:29am
d