mutakhir

'Dah takdir saya'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

Ipoh: Setiap kanak-kanak tidak kira anak yatim atau golongan miskin sepatutnya berhak menyambut Aidilfitri dengan gembira termasuk merayakannya dengan pakaian baru dan makanan yang enak seperti kanak-kanak lain.

Namun masih ada golongan berkenaan tidak bernasib baik dan terpaksa menyambut Aidilfitri dalam keadaan serba kekurangan, malah ada yang langsung tidak merasai kemeriahan perayaan itu.

Berbanding kanak-kanak malang seperti itu, Mohamad Faiz Ridwan, 16, boleh dikira bernasib baik kerana dapat merasai sambutan Aidilfitri setiap tahun walaupun meraikannya di pusat jagaan sejak 11 tahun lalu bersama penghuni lain serta penjaga.

Ditempatkan di Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman, Manjoi, di sini, sejak berusia enam tahun kerana masalah kepincangan keluarga dihadapi serta tiada waris sanggup atau mampu menjaganya dan dia pasrah menumpang kasih di pusat berkenaan.

Pelajar tingkatan empat sekolah menengah di Manjoi itu seorang daripada 26 anak yatim dan miskin ditempatkan di Nurul Iman.

Menurut Faiz, pada tahun awal dia di pusat berkenaan terasa sedih kerana tiada keluarga untuk menyambut Aidilfitri, namun lama-kelamaan perasaan itu diatasi dan kini sebagai penghuni senior dia perlu menjadi contoh kepada yang lain.

“Raya di sini (Nurul Iman) sama macam raya di tempat lain juga, malah lebih seronok kerana ada ramai rakan dan penjaga yang sudah seperti keluarga sendiri,” katanya.

Katanya, itu antara penguat semangat dirinya sendiri serta diberikan kepada penghuni lain yang tidak dapat pulang ke kampung masing-masing beraya dengan keluarga.

“Dah takdir ketentuan hidup saya macam ini, apa yang saya mampu lakukan adalah kuatkan semangat, tingkatkan keyakinan diri dan cuba hidup berdikari,” katanya.

Faiz berkata, kebiasaannya ada kanak-kanak di Nurul Iman yang akan pulang beraya dengan ahli keluarga terutama mereka yang masih mempunyai waris dan hanya tinggal beberapa orang yang tidak pulang beraya.

“Tapi Aidilfitri kali ini ramai iaitu 20 penghuni yang beraya bersama kerana kebanyakan mereka yang baru mempunyai masalah keluarga hingga menyebabkan mereka terpaksa ditempatkan di Nurul Iman untuk perlindungan.

“Seronok dapat beraya beramai-ramai, solat sunat Aidilfitri dan makan pelbagai juadah bersama,” katanya.

Menurutnya, dia meminati bidang kejuruteraan mekanikal dan berharap dapat melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi kelak serta jika berjaya dan mempunyai pekerjaan atau keluarga sendiri, dia tetap beraya di pusat jagaan itu selain membantu membangunkannya pada masa depan.

Disiarkan pada: July 13, 2016 @ 9:30am
d