mutakhir

Mangsa perlu darah O

Oleh Ahmad Ismail

Segamat: Pusat Tabung Darah Hospital Daerah Segamat (HDS), dekat sini, memerlukan penderma darah jenis O sebagai persediaan bagi prosedur pembedahan seorang mangsa kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Kilometer 2.5 Jalan Muar-Labis di sini, Ahad lalu.

Pengarah Hospital Daerah Segamat, Dr Aman Rabu berkata, Muhamad Haziq Iqbal, 13, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi(ICU) kini dalam keadaan koma serta tidak sedarkan diri selepas terbabit kemalangan yang meragut nyawa ibu bapanya, Mohd Rezal Abd Karim, 37, dan Rozaimah Mahmod@Mahmud, 41, serta adik perempuannya, Nuralisa Yasmin, 11.

“Ketika ini darah jenis O sangat diperlukan untuk membantu pesakit berkenaan dan dia mempunyai darah jenis O negatif dan keperluan darah jenis itu dalam usaha menyelamatkan nyawanya yang akan melalui prosedur pembedahan dalam masa terdekat.

“Darah jenis O hanya dimiliki tiga peratus individu tertentu, selain penderma yang memilikinya amat berkurangan,” katanya di temui di Wad 6 HDS di Jalan Genuang, di sini, semalam.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Nurshida Ibrahim; ADUN Tenang, Azahar Ibrahim dan Ketua Unit Tabung Darah Hospital Daerah Segamat, Dr Faizal Ahmad dan Ketua Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, Asisten Superitendan Mansur Taib.

Ketika ini, anak sulung mangsa, Muhammad Aniq Aiman Mohd Rezal, 16, dalam keadaan stabil dan ditempatkan di Wad 6 HDS, manakala adik bongsunya, Nurdurrah Khadeeja, setahun, masih dalam keadaan kritikal dan dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru akibat kecederaan pada kepalanya.

Katanya, sehubungan itu pihaknya berharap kepada mana-mana pihak yang memiliki darah itu di minta tampil ke Pusat Tabung Darah HDS untuk kegunaan mangsa.

Katanya, HDS kini sedang meneliti perkembangan lanjut mengenai tahap kesihatan Muhamad Haziq Iqbal pada setiap masa dan akan melakukan pembedahan pada bahagian dalaman organnya.

“Antaranya membabitkan bahagian limpa serta hatinya dipercayai mengalami kecederaan teruk akibat hentakkan,” katanya.

Disiarkan pada: July 13, 2016 @ 9:41am
d