mutakhir

Zaman gelap peraih getah

Oleh Hassan Omar

Alor Gajah: Pemborong getah beku menghadapi risiko gulung tikar jika pengeluaran komoditi itu terus merudum berikutan jumlah penoreh yang beroperasi semakin berkurangan akibat kejatuhan harga.

Sejak 2012, harga getah beku terus merudum selepas ia mencapai rekod tertinggi RM7 satu kilogram (kg) pada November 2010 hingga hujung 2011 sekali gus menyebabkan jumlah pekebun kecil getah yang terus menoreh semakin berkurangan.

Ia menyebabkan kebanyakan pemborong getah beku terpaksa gulung tikar kerana kos pengeluaran melebihi pendapatan.

Pemborong getah beku di Kampung Ramuan China Kecil, Masjid Tanah, Rustam Ma’ali, 31, berkata, pada 2010 dan 2011, dia mampu mengumpul getah beku seberat kira-kira tiga tan sehari, namun sekarang dia hanya mampu mengumpulkan satu tan sehari akibat penurunan pengeluaran.

“Pengeluaran getah beku merudum sejak 2012 akibat penurunan harga daripada RM7 satu kg kepada RM4 satu kg. Ia kemudian menurun kepada tahap paling rendah antara RM1.80 hingga RM2 satu kg sekarang.

“Apabila harga semakin jatuh, pekebun kecil tidak mahu menoreh dan terpaksa mencari duit dengan melakukan kerja lain. Jika ini berterusan, kami terpaksa gulung tikar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Rustam memulakan perniagaan itu pada 2003 selepas memperoleh lesen membeli getah daripada Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan kawasan pembelian membabitkan kampung Ramuan China Kecil, Kampung Ramuan China Besar, Limau Nipis dan Sungai Jerneh.

Menurutnya, harga semasa getah beku yang dijualnya kepada pengilang di Tampin ialah RM2.35 satu kg.

Katanya, LGM turut memberikan tanggungjawab kepada pemborong getah untuk menyediakan rekod penjualan getah oleh pekebun kecil secara bulanan bagi membolehkan agensi itu membayar insentif kepada pekebun kecil.

“Setiap bulan saya perlu menghantar rekod penjualan getah beku oleh pekebun kecil kepada LGM. Bagi setiap satu kg getah beku, LGM akan memberikan insentif antara 40 hingga 80 sen.

“Insentif itu sudah bermula sejak November 2015 hingga sekarang kecuali April lalu. Lazimnya seorang pekebun kecil getah boleh menghasilkan antara 300 hingga 400 kg getah beku sebulan,” katanya.

Sementara itu, pekebun kecil, Teo Foo Hoyen, 75, yang ditemui di rumahnya di Kampung Ramuan China Besar berkata, dia memiliki 6.4 hektar kebun getah tetapi hanya mampu menoreh getah 0.2 hektar sehari kerana kekurangan tenaga kerja dan harga getah yang terlalu rendah.

Katanya, dia menghadapi kesukaran mendapatkan penoreh yang sanggup mengambil upah menoreh akibat penurunan harga getah.

Bagaimanapun, dia yakin harga getah beku akan kembali meningkat sejajar peningkatan permintaan getah di pasaran antarabangsa pada masa akan datang.

Disiarkan pada: July 13, 2016 @ 9:57am
d