mutakhir

Pemandu kereta mewah paling ingkar

Oleh myMetro

Kuala Lumpur: Kaya terpelajar dan miliki kereta mewah namun langsung tidak menghormati undang-undang. Itu sikap pemandu yang dikesan masih berdegil memandu di lorong kecemasan biarpun sudah banyak kali amaran diberikan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja menyebabkan pengguna jalan raya lain berang ketika berpusu-pusu mengharungi kesesakan waktu puncak malah menyusahkan banyak pihak sekiranya berlaku kecemasan.

Ini terbukti apabila sebanyak 52 pemilik pelbagai kenderaan mewah ditahan dan dikenakan saman dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota polis trafik Kuala Lumpur di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban berhampiran di Jalan Petaling, di sini, semalam.

Pegawai Penguatkuasaan dan Operasi Trafik Kuala Lumpur Asisten Superintendan Leonard Lawrence Abbierutin berkata, operasi dijalankan dengan kekuatan enam anggota bermula jam 5.30 petang.

“Lebih dua jam penugasan dilakukan dan sebanyak 52 saman dikeluarkan kepada pengguna yang melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan berhampiran kawasan susur keluar ke Desa Petaling di sini.

“Selain itu, polis turut mengenakan tindakan ke atas kesalahan lalu lintas lain seperti gagal mengemukakan lesen memandu dan lesen sudah tamat tempoh,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan itu bertepatan dengan kempen Op Selamat 9 yang dilancarkan pada 29 Jun lalu.

“Kebanyakan pemandu yang dikenakan tindakan ini didapati masih tidak mempunyai kesedaran mengenai larangan menggunakan lorong kecemasan.

“Pihak kami akan terus melakukan operasi seumpama ini secara berterusan iaitu menumpukan 10 kawasan utama di ibu kota yang kerap berlaku kesalahan berkenaan,” katanya.

Menurutnya, antara laluan yang akan diberikan tumpuan adalah Jalan Kepong, Jalan Cheras, Jalan Lingkaran Tengah 2 (MMR2), Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Kuching, Jalan Ampang, Jalan Klang Lama, Jalan Duta dan Jalan Sungai Besi di sini.

Disiarkan pada: July 13, 2016 @ 10:13am
d