mutakhir

Taktik lapuk berjudi

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sindiket judi dalam talian kembali kepada taktik lama apabila berselindung di sebalik premis kafe siber untuk menjalankan kegiatan jenayah.

Malah sindiket judi terbabit yang seolah-olah hilang idea masih terus menggunakan khidmat tonto upahan untuk mengawasi kegiatan itu.

Helah kuno itu bagaimanapun dibongkar susulan tindakan sepasukan anggota polis Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menyerbu 14 premis judi menerusi serbuan Ops Dadu, semalam.

Operasi bermula jam 9.30 malam itu membabitkan kawasan Kepong, Batu Caves, Jalan Raja Laut, Bandar Baru Sri Petaling, Taman Setapak Indah Jaya dan Taman Danau Kota di sini.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, kebanyakan premis terbabit beroperasi secara bermusim dan diawasi oleh beberapa tonto.

“Malah, semua pintu premis itu dikawal kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengenal pasti pelanggan yang masuk ke dalam premis.

“Ada di antara pusat judi itu berselindung di sebalik kegiatan kafe siber berlesen,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya menahan 19 penjaga dan pekerja premis judi berkenaan selain menahan 25 pelanggan warga tempatan dan asing.

“Pemeriksaan terhadap lelaki warga asing Myanmar, Bangladesh dan Indonesia itu mendapati mereka tidak memiliki dokumen perjalanan diri sah ketika ditahan.

“Kami turut merampas 268 komputer yang digunakan dalam kegiatan itu, telefon bimbit, komputer kawalan utama, buku catatan, kad pekerja dan wang tunai sebanyak RM4,000,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2016 @ 7:50am
d