mutakhir

Harapan baru buat Ah Chai

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kehidupan lima beranak yang terpaksa menumpang sebuah rumah di Flat Pinggiran Kota, Lukut, di sini, bakal berubah apabila mereka akan mendapat rumah yang dibina badan bukan kerajaan.

Khoo Yee Hong, 59, dan isterinya, K Selvi, 30, serta tiga anak berusia dua hingga sembilan tahun menumpang di rumah berkenaan sejak setahun lalu.

Khoo, sebelum ini dia bekerja sebagai buruh binaan, tetapi akibat sakit selepas terjatuh ketika melakukan kerja, dia tidak lagi dapat meneruskan kerjanya itu dan hanya mengambil upah melakukan kerja kampung.

“Saya hanya mengambil upah daripada penduduk setempat. Rumah yang saya sekeluarga tinggal ini pun hanya menumpang atas belas ihsan pemilik rumah kerana saya tidak mampu membayar sewa.

“Tambahan pula, isteri bakal melahirkan anak keempat bulan hadapan, tetapi kami tidak membuat sebarang persiapan kerana kesempitan hidup,” katanya ketika ditemui di rumah terbabit, semalam.

Khoo yang mesra dipanggil Ah Chai di kalangan penduduk berkata, dia tidak menyangka ditawarkan tapak rumah oleh seorang rakan, Nor’Aini Zainal Abidin, 58, yang dikenalinya sejak 20 tahun lalu.

“Saya sangat terhutang budi dan berterima kasih kepadanya.

“Nor’Aini bukan saja menawarkan tapak rumah berkenaan malah turut membantu saya mendapatkan sumbangan daripada beberapa badan bukan kerajaan untuk menyiapkan rumah itu.

“Tapak rumah sudah ada, jadi saya perlu berusaha mencari kayu terpakai untuk dijadikan rumah secepat mungkin kerana isteri bakal melahirkan anak dan memerlukan penjagaan rapi,” katanya.

Sementara itu, Nor’Aini berkata, dia simpati dengan nasib dan penderitaan dialami keluarga Khoo dan ikhlas menawarkan kawasan rumahnya untuk membina rumah mereka sekeluarga.

“Saya ikhlas membantu walaupun mereka bukan orang Melayu. Saya membantu atas dasar kemanusiaan, tambahan pula saya sudah lama mengenali Ah Chai.

“Saya juga berterima kasih kepada 3rd Force Port Dickson yang sudi menyumbang barangan makanan kepada keluarga itu,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2016 @ 7:51am
d