mutakhir

Petunjuk tuala reput

Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Sehelai tuala hampir reput menjadi petunjuk terbaru dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang hilang di Hutan Simpan Nenggiri, Pos Pulat di sini.

Sabtu lalu, petugas SAR menemui rangka manusia dipercayai milik seorang daripada mangsa di celah rekahan batu dekat bangsal dibina mereka.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Rajab Ahad Ismail berkata, tuala berkenaan ditemui kira-kira jam 3 petang kelmarin, kira-kira 700 meter dari lokasi tulang ditemui dan dipercayai milik seorang daripada mangsa yang dilaporkan hilang.

“Penemuan ini memberi harapan baru kepada kita dan juga keluarga mangsa, malah tuala itu juga sudah disahkan milik mangsa, Zarani Abdullah Zawawi, 37, oleh ahli keluarganya yang bersama-sama dalam misi itu.

“Untuk itu, kita akan mempertingkatkan pencarian di kawasan sekitar satu kilometer persegi serta memberi tumpuan di kawasan rekahan batu kerana khuatir mangsa terjatuh di kawasan berkenaan,” katanya di sini, semalam.

Dalam kejadian 13 Jun lalu, Zarani bersama rakan Orang Aslinya, Sudin Salleh, 30, dari Kampung Kuala Lah, Pertam dikatakan pergi ke hutan berkenaan untuk mencari kayu kemuning.

Namun, pemergian mereka yang biasanya hanya dalam tempoh seminggu atau dua tetapi berlanjutan sehingga tiga minggu menyebabkan ahli keluarga membuat laporan polis pada 30 Jun lalu.

Operasi SAR bermula pada 1 Julai lalu sebelum satu rangka manusia ditemui, kira-kira jam 1.45 tengah hari, Sabtu lalu.

Rangka berkenaan masih menjalani proses ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengenal pasti identiti sebenar individu berkenaan.

Disiarkan pada: July 14, 2016 @ 9:26am
d