mutakhir

Konon disamun RM25,000

Oleh myMetro

Johor Bahru: Padah membuat laporan polis palsu dengan mendakwa dirinya disamun membabitkan kerugian RM25,000, seorang lelaki ditahan polis, Isnin lalu selepas siasatan polis mendapati wang milik syarikat itu digunakan lelaki berusia 30 tahun terbabit untuk membayar hutangnya.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Sulaiman Salleh berkata, pihaknya menerima laporan polis dibuat pengadu yang bekerja di sebuah agensi pekerjaan di daerah ini yang mendakwa dia disamun.

“Laporan polis diterima Ibu Pejabat Polis Daerah JBS Isnin lalu dan pengadu mendakwa disamun serta mengalami kerugian RM25,000.

“Berdasarkan siasatan, polis mendapati pengadu membuat laporan serta memberi keterangan palsu kepada polis kerana hasil siasatan mendapati wang tunai itu tidak disamun sebaliknya digunakan untuk membuat membayar hutang kepada kawan-kawannya,” katanya.

Beliau berkata, wang terbabit adalah milik syarikat tempat kerja pengadu dan bagi melindungi perbuatan itu, pengadu membuat satu laporan palsu.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis menjumpai sejumlah wang di alas kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah kanan kereta pengadu selain tubuh badan pengadu.

“Berikutan itu, polis menahan pengadu kerana mereka-reka cerita dan membuat laporan palsu bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 182 Kanun keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2016 @ 9:36am
d