mutakhir

Tercari-cari kelibat ibu

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Anak bongsu kepada suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kilometer 2.5 Jalan Muar-Labis dekat Segamat, Ahad lalu, sukar tidur lena dan kerap memanggil ibu, bapa serta kakaknya.

Nurdurrah Khadeeja Mohd Rezal, 18 bulan, antara mangsa yang terselamat dan kini dalam keadaan stabil selepas dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini sejurus kemalangan itu berikutan kecederaan kepalanya.

Menurut ibu saudaranya, Noormassuzzanna Marjikon, 28, berkata, sejak bayi itu sedar dan dipindahkan ke wad kanak-kanak, dia kerap merengek dan memanggil ketiga-tiga ahli keluarganya yang terkorban dalam tragedi itu.

“Dia seperti tahu yang ketiga-tiga mereka sudah tiada.

“Sejak dia sedar dan stabil, dia langsung tidak mahu berenggang dengan saya dan dia trauma serta fobia apabila didekati orang lain atau ditinggal keseorangan,” katanya ketika ditemui di HSA di sini, semalam.

Nurdurrah Khadeeja semalam menerima kunjungan Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Ketua Trafik Negeri, Superintendan Baharudin Mat Taib ketika beliau mengadakan lawatan kebajikan ke atas mangsa kemalangan jalan raya yang masih mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

Kemalangan ngeri jam 7.15 malam itu mengorbankan ibu dan bapa Nurdurrah Khadeeja iaitu Mohd Rezal Abd Karim, 37, dan Rozaimah Mahmod@Mahmud, 41, serta kakaknya, Nuralisa Yasmin, 11, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Segamat.

Manakala, dia dan dua abangnya, Muhammad Aniq Aiman, 16, serta Muhammad Haziq Iqbal, 13, mengalami kecederaan.

Ketika kejadian, mereka enam beranak menaiki Proton Saga dalam perjalanan beraya di sekitar Labis, dekat sini, sebelum dirempuh kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandu seorang lelaki berusia 55 tahun.

Dalam lawatan semalam, Baharudin melawat tiga mangsa terbabit dalam kemalangan sembilan kenderaan di Lebuhraya Pasir Gudang berdekatan Taman Damansara Aliff di sini, Ahad lalu.

K Narmatha, 16, dan S Pumalai, 30-an, masih berada di unit rawatan rapi (ICU) HSA manakala J Naviin, 9, yang cedera di bahu kiri masih dirawat.

Menurut ibu Naviin, S Premavathy, 35, ketika kejadian dia memandu Perodua Myvi bersama Narmatha dan Pumalai serta seorang anak saudara dalam perjalanan ke Bukit Indah.

“Ketika kejadian itu, saya sedar beberapa kenderaan di hadapan saya memperlahankan kenderaan dan saya memperlahankan kenderaan, namun dalam sekelip mata saya merasakan satu rempuhan kuat dari belakang.

“Saya terhantuk di bahagian stereng dan pengsan. Bagaimanapun, Naviin yang menyaksikan sepenuhnya kejadian itu memberitahu bas di belakang kami bergerak laju menyebabkan pemandunya tidak sempat berhenti.

“Kami juga diberitahu polis sebuah motosikal terjatuh tidak jauh daripada tempat kejadian menyebabkan beberapa kenderaan terpaksa perlahan bagi mengelak penunggang motosikal yang terjatuh,” katanya.

Disiarkan pada: July 14, 2016 @ 9:49am
d