mutakhir

Nyonya sedia kongsi sepinggan nasi

Oleh myMetro

Bukit Mertajam: “Bayangkan, jika ada sepinggan nasi sekali pun, saya mahu berkongsi makan dengan individu lain,” kata Ang Swee Moi,78, yang teruja melihat amalan berkongsi dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Swee Moi berkata, dia yang sejak kecil tinggal dalam suasana kampung di Permatang Pauh, di sini mempunyai ramai kenalan berbangsa Melayu dan India.

Berikutan itu, katanya, setiap kali menjelang musim perayaan tidak kira Aidilfitri, Deepavali dan Tahun baru Cina, dia pasti menyambutnya sebagai tanda mahu berkongsi kegembiraan.

“Saya suka berkongsi juadah dan apa-apa sahaja yang bersesuaian kerana daripada amalan itu saya dapat berkenalan dan mengeratkan hubungan dengan individu lain tanpa mengira bangsa.

“Amalan ini mengingatkan saya ketika muda dahulu yang kerap mengunjungi rumah kawan masyarakat Melayu ketika Aidilfitri serta menghadiri kenduri kahwin,” katanya selepas menerima kuih raya ketika kunjungan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said ke rumahnya, di sini, semalam.

Dalam lawatan itu, 300 bekas kuih raya dihulurkan kepada masyarakat kaum Cina dalam kawasan itu bagi menyemarakkan sambutan Aidilfitri bagi masyarakat lain juga.

Bagi Ng Ah Ngoh, 82, dia yang tinggal bersendirian selepas kematian suami dan anaknya beberapa tahun lalu gembira menerima kunjungan itu.

Katanya, walaupun seketika, ia dapat memberikan keceriaan kepada dirinya dan berharap dapat menerima kunjungan seperti itu pada tahun akan datang.

Disiarkan pada: July 14, 2016 @ 10:13am
d