mutakhir

Pergi menjelang hari lahir

Seremban: Dia bakal menyambut ulang tahun kelahirannya esok, namun Dania Alani Mohd Amry, 9, tidak sempat meraikan hari berkenaan selepas dijemput Illahi akibat penderitaan ketumbuhan dalam otak dan kepala berair yang dialaminya sejak tiga tahun lalu.

Kanak-kanak terbabit meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), di sini, pada jam 9.52 pagi kelmarin selepas keadaannya semakin lemah hingga memerlukan bantuan alat penafasan.

Sebelum itu, Dania Alani dilaporkan demam dan kerap berpeluh pada Rabu lalu sebelum ibunya, Noor Hasni Hasan, 31, menghantar kanak-kanak terbabit ke Unit Kecemasan HTJ untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Noor Hasni berkata, Dania Alani semakin kurang bermaya membuatkan doktor memasukkannya ke Unit Rawatan Rapi untuk pemeriksaan lanjut sebelum mendapati dia mengalami jangkitan virus pada paru-parunya.

“Namun, selepas usaha dilakukan pasukan perubatan, Dania Alani akhirnya meninggalkan kami semua. Allah menjemputnya lebih awal iaitu tiga hari sebelum ulang tahun kelahirannya, Sabtu ini (esok),” katanya ketika dihubungi, semalam.

Disiarkan pada: July 15, 2016 @ 10:03am
d