mutakhir

Pemandu lori menggigil

Oleh Zairee Mohd Yasak

Melaka: “Tangan saya menggigil apabila melihat motosikal remaja terbabit meluru ke arah lori saya yang sedang keluar dari kawasan simpanan kontena,” kata Abdullah Othman, 33, selepas lori kontena dipandunya terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan seorang penunggang motosikal, semalam.

Dalam kemalangan di Jalan Tampoi, Krubong, di sini, pada jam 11.40 pagi, mangsa, Ahmad Fariz Haiqal Ahmad Fauzi, 16, meninggal dunia di tempat kejadian akibat hentakan kuat di kepala selepas motosikal Yamaha LC 135 ditunggangnya terlanggar lori kontena itu.

Pembonceng motosikal terbabit, Muhammad Parissin Muhadhar, 16, yang parah di kepala dan badan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Melaka, di sini.

Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa berasal dari Kuala Sungai Baru, Alor Gajah datang dari arah Krubong ke Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin sebelum terbabit dalam kemalangan berkenaan.

Abdullah yang memiliki 12 tahun pengalaman memandu kenderaan berat berkata, ketika memandu keluar dari kawasan simpanan kontena, pandangannya dihalang treler lain diparkir di bahu jalan sebelah kanan.

“Sebaik sahaja melepasi kawasan simpanan kontena, saya dapat lihat motosikal mangsa menuju ke arah lori menyebabkan saya tidak sempat berbuat apa-apa untuk mengelak.

“Saya kemudian mengambil masa beberapa minit bagi menenangkan diri sebelum keluar dari lori untuk melihat keadaan mangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan, semalam.

Kemalangan maut itu turut menyebabkan jalan berkenaan ditutup dua jam bagi membolehkan polis melakukan siasatan dan kerja pembersihan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan maut terbabit.

“Kami sudah menghubungi keluarga kedua-dua mangsa untuk memaklumkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 15, 2016 @ 10:45am
d