mutakhir

Pacuan empat roda terhumban masuk anak sungai

Oleh myMetro

Sandakan: Dua lelaki nyaris maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dipercayai hilang kawalan lalu terhumban ke dalam anak sungai di Batu 21 Jalan Labuk, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3.50 petang, pemandu berusia 53 tahun yang masih tidak dikenali identitinya itu patah paha kanan manakala penumpang berusia 19 tahun pula patah pinggang dan bahu kanan.

Menurut saksi yang juga penduduk tempatan, Amran Hassan, 35, beberapa penduduk bergegas ke lokasi kejadian sebaik menyedari kejadian itu.

“Saya bersama beberapa penduduk kampung menyedari sebuah kenderaan terhumban ke sungai berhampiran persimpangan ke ladang kelapa sawit.

“Kami kemudian bergegas mendapatkan mangsa sebelum membantu mengangkat mereka ke jalan raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, kelmarin.

Amran berkata, sejurus kemalangan, pemandu dan penumpang dilihat masih berada dalam kenderaan itu.

“Kedua-duanya masih sedar tetapi berada dalam kesakitan termasuk pemandu yang memaklumkan dia tidak dapat menggerakkan kaki kanannya.

“Keadaan penumpang kenderaan ini pula lebih parah apabila tulang bahu kanannya terkeluar,” katanya.

Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum dihantar ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) untuk rawatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan Asisten Komisioner Zabidi Md Zain berkata, kemalangan membabitkan kenderaan empat roda jenis Toyota Land Cruiser.

“Siasatan awal mendapati, pacuan empat roda ini dalam perjalanan dari Batu 32 menuju ke Batu 7 Sandakan.

“Sejurus tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan terhumban ke dalam anak sungai berhampiran,” katanya.

Zabidi berkata, kejadian menyebabkan pemandu patah paha kanan manakala penumpang mengalami patah bahu kanan dan pinggang.

“Kedua-duanya kini dirawat di hospital dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 16, 2016 @ 5:56am
d