mutakhir

Tunai bakti terakhir

Oleh Omar Osman

Gurun: Seorang lelaki berusia 32 tahun tidak sempat memberi ubat sakit urat yang dibeli kepada ibunya apabila menemui ajal selepas kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebuah lori di Kilometer 41 Jalan Alor Setar-Butterworth berhampiran kilang Perwaja Steel, di sini, kelmarin.

Kemalangan berlaku pada jam 8.50 malam ketika kereta Proton Wira dipandu mangsa, Mohd Nashriq Sani dari arah Gurun dipercayai hilang kawalan sebaik melalui kawasan selekoh lalu melintasi pembahagi jalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh sebuah lori dari Bedong.

Akibat rempuhan itu, kereta terbabit remuk teruk dan mangsa yang mengalami kecederaan parah tersepit di tempat duduk pemandu sebelum dikeluarkan anggota bomba, namun meninggal dunia tidak lama kemudian.

Manakala, lori berkenaan yang terbalik turut remuk teruk dengan tiga mangsa yang berada di dalamnya hanya cedera ringan, sementara pemandu sebuah kereta lain mengalami luka kecil.

Adik mangsa Nur Atieqahi, 26, berkata dia terkejut apabila ibu menghubunginya pada jam 9 malam memberitahu abangnya terbabit dalam kemalangan ketika mahu pulang ke rumah selepas habis bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

“Emak suruh saya pergi tengok keadaan abang, tetapi terkejut apabila dimaklumkan abang sudah meninggal dunia. Saya tidak tahu nak cakap apa pada emak lagi kerana sedih apabila arwah abang tidak sempat bagi ubat sakit urat yang dibelinya di sebuah farmasi di Gurun kepada emak.

“Sebelum kejadian, emak beritahu dia mengalami sakit urat lalu abang kemudian bergegas pergi ke Gurun bagi membelinya dengan memandu kereta menyebabkan saya amat sedih kerana selama ini arwah abang yang menjaga emak dan ayah yang sakit.

“Malah, abang sanggup berhenti kerja kilang kerana mahu menjaga emak yang kurang sihat serta ayah yang lumpuh akibat angin ahmar. Saya tahu emak dan ayah pasti sedih dengan apa yang berlaku, namun kami reda dengan kehendak Allah SWT,” katanya yang ditemui di Jabatan Forensik HSAH, di sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Md Zuker Md Isa berkata, kemalangan berlaku selepas kereta Proton Wira dipandu mangsa dari arah Gurun dipercayai hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan lalu merempuh sebuah lori di laluan bertentangan.

Katanya, akibat itu kereta Proton Wira berkenaan remuk teruk dan mangsa tersepit di tempat duduk pemandu dengan kecederaan parah di kepala sekali gus meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Disiarkan pada: July 17, 2016 @ 5:28am
d