mutakhir

Naik basikal ke pejabat

Oleh Asrizal Aris

Kuala Lumpur: Penganjuran KL Car Free Morning optimis masyarakat bandar mengamalkan gaya hidup sihat dengan berbasikal untuk ke tempat kerja menjelang 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana KL Car Free Morning Datuk Naim Mohamad berkata, prasarana yang cukup dan kemudahan pengangkutan awam yang lengkap mampu mendidik masyarakat maju dan sihat.

“Tidak mustahil untuk beberapa tahun lagi, warga Kuala Lumpur akan pergi ke pejabat dengan menaiki basikal dan pengangkutan awam untuk mengelak kesesakan lalu lintas di samping mengawal pencemaran alam sekitar untuk generasi akan datang.

“Setiap pejabat pula perlu menyediakan bilik salinan pakaian khas untuk kakitangan yang berbasikal datang ke tempat kerja,” katanya selepas merasmikan KL Car Free Morning di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jalan Raja Laut, di sini semalam.

Naim yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia berkata, beliau yakin projek laluan basikal sepanjang 5.5 kilometer dibangunkan DBKL akan ditambahbaik.

“Kemudahan bernilai RM700,000 itu semakin mendapat sambutan dan penganjuran KL Car Free Morning juga berjaya menarik masyarakat Kuala Lumpur untuk meminati gaya hidup berbasikal,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2016 @ 9:55am
d