mutakhir

Kumandang azan itu...Kumandang azan itu...

Oleh Mary Victoria Dass

Pasir Gudang: “Selama setahun memeluk Islam ketika di Singapura, saya langsung tidak ke masjid kerana segan dengan diri sendiri, selain tidak pandai membaca al-Fatihah dan perkara itu membuatkan jiwa saya tidak tenang,” kata mualaf yang berasal dari Kanada, Johan Leighton, 55,
di sini.

Johan yang memeluk Islam sejak 2013 berkata, kehidupannya banyak berubah sejurus mengenali Badan Kebajikan Saudara Kita sekali gus membolehkannya menjalani kehidupan lebih bermakna berlandaskan agama Islam.

Menurutnya, dia berasa bersyukur kerana perpindahannya ke Johor Bahru tiga tahun lalu demi memantapkan perniagaan serta membuka pusat gimnasium di Iskandar Puteri di sini, mempunyai hikmah tersendiri dan membolehkannya mengenali Islam dengan lebih dekat.

Katanya, semuanya bermula apabila dia terdengar laungan azan di sebuah masjid di Taman Bukit Indah di sini, umpama menyerunya untuk menjejakkan kaki ke masjid berkenaan.

“Sebaik saya tiba, saya amat pelik kerana ada jemaah yang sangat mesra umpama sudah mengenali lama dan menerusinya saya mengenali Badan Kebajikan Saudara Kita yang beroperasi di Johor.

“Ia membolehkan saya mengikuti pelbagai aktiviti keagamaan dianjurkan mereka sekali gus menyertai kelas Fardu Ain hampir setiap minggu,” katanya yang menjadi tetamu pada Majlis Rumah Terbuka Pegawai Penerbitan Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), A Latif Al Juffri di Taman Mawar di sini, kelmarin.

Johan berkata, kini dia mampu membaca surah al-Fatihah dengan lancar selain al-Quran tanpa sebarang halangan serta kini, mampu menunaikan solat Jumaat di masjid pada setiap minggu.

Johan yang masih berstatus bujang mengakui dirinya bersyukur kerana dengan kewujudan Badan Kebajikan Saudara Kita itu sekurang-kurangnya membawa sinar dalam kehidupan golongan mualaf sepertinya yang memerlukan panduan bagi mendekati Islam.

Menurutnya, menerusi pergaulan dengan kumpulan mualaf berkenaan, dia juga mula mendekatkan diri dengan kerja amal yang memberikannya ketenangan jiwa tersendiri.

“Sebelum memeluk Islam, saya umpama tiada agama dan merasakan suatu kekurangan dari segi kerohanian serta tidak tahu erti kehidupan.

“Namun segalanya berubah apabila saya memeluk agama suci ini dan kini saya bukan keseorangan, saya memiliki ramai saudara Islam yang sanggup membawa saya balik ke kampung di Muar untuk menyambut Aidilfitri,” katanya.

Katanya, semangat ukhuwah yang terjalin di situ membuatkan dirinya merasakan kemeriahan sambutan raya di kampung serta ia suatu kenangan manis baginya seumur hidup.

Sementara itu, Pengerusi Badan Kebajikan Saudara Kita, Mohd Taufik Abdullah, 55, berkata kini pihaknya memiliki kira-kira 4,000 ahli.

Disiarkan pada: July 18, 2016 @ 10:18am
d