mutakhir

Tafsiran seiring zaman

Oleh Mohd Nasif Badruddin

Nilai: Istilah kafir harbi yang merujuk kepada golongan bukan Islam menentang Islam masih relevan digunakan kerana ia disebut dalam al-Quran dan hadis, cuma tafsirannya pada waktu kini perlu disepakati dan dijelaskan oleh pihak berkuasa agama supaya tidak menimbulkan kekeliruan.

Felo Kanan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM) Engku Ahmad Fadzil Engku Ali berkata, perkataan kafir disebut 132 kali dalam al-Quran dan istilah kafir harbi kekal relevan selagi ada al-Quran serta hadis.

Katanya, dalam al-Quran ada menyebut supaya umat Islam memerangi golongan tertentu sehingga mereka masuk Islam dan konotasi bunuh hanya terpakai terhadap kafir tertentu serta bukannya semua kafir itu halal darahnya.

“Ada salah tanggapan kata-kata Mufti Pahang (Datuk Seri Abdul Rahman Osman) seolah-olah kafir itu wajib disembelih atau dicencang, mufti tidak sebut langsung mengenai halal darah kerana kita ada undang-undang.

“Mufti bukan penasihat undang-undang, beliau hanya jawab dari segi syariah. Contohnya ada perkara mufti kata haram, tetapi dibenarkan undang-undang negara.

“Islam rosak sebab ada umatnya yang berpecah-belah dan kita jangan terpedaya dengan musuh Islam yang menjadikan Muslim berbalah sesama sendiri, jangan kerana kepentingan politik ia jadi lain,” katanya dalam Wacana ‘Istilah Kafir Harbi: Relevan Atau Tidak?’ di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini, malam kelmarin.

Wacana anjuran Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) itu turut disertai Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (ASWAJA) Zamihan Mat Zin, EXCO Pemuda UMNO Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Hasanuddin Yunus.

Sementara itu, Fathul Bari berkata, beliau menghubungi Mufti Pahang bagi mendapatkan penjelasan isu kafir harbi dan apa yang dikatakannya ialah jihad melawan dari segi pemikiran atau ideologi dan berlaku salah faham apabila ada pihak mengambil separuh kata-katanya.

“Macam zaman Nabi Muhammad SAW dulu, Baginda tidak bunuh Abdullah Ubai yang menentang Islam kerana Nabi fikir implikasi tindakannya, tetapi istilah kafir harbi ini tetap relevan dulu, kini dan selamanya,” katanya.

Disiarkan pada: July 18, 2016 @ 10:21am
d