mutakhir

Rompin destinasi utama ekopelancongan

Kuala Lumpur: Kawasan Parlimen Rompin akan dibangunkan menjadi destinasi pelancongan utama negara berkonsepkan ekopelancongan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ahli Parlimennya Datuk Hasan Arifin berkata, beberapa penumpuan diberikan untuk merealisasikan tujuan itu termasuk menaik taraf kemudahan asas di Taman Negara Endau Rompin menerusi peruntukan RM13 juta.

“Projek ini diuruskan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER ) dan akan dimulakan dalam masa terdekat yang dijangka mengambil masa setahun untuk siap.

“Antara lain yang turut dinaik taraf ialah Sungai Rompin dan persisiran pantai Rompin yang sering dijadikan lokasi penganjuran aktiviti memancing dalam acara yang besar sehingga mendapat perhatian dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Raya Kelab Anak Rompin di Perantauan (KELAR) di Hotel Seri Pacific, semalam.

Hadir sama, Mantan Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muadzam Shah Datuk Seri Maznah Mazlan dan ADUN Bukit Ibam Datuk Wan Kadri Wan Mahusein.

Selain itu Hasan yang juga Penaung KELAR berkata, kaedah pertanian di kawasan berkenaan juga akan diubah kepada yang lebih moden kerana ia memberikan kesan lebih besar kepada ekonomi negara.

Katanya, itu antara usaha yang akan beliau lakukan bagi meneruskan legasi kepemimpinan dan pembangunan yang ditinggalkan bekas mantan ahli Parlimen kawasan terbabit, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang meninggal dunia dalam nahas helikopter di Kampung Pasir Baru Semenyih tahun lalu.

Berkenaan program itu beliau berkata, ia julung kali diadakan selepas penubuhannya dua tahun lalu bagi menghimpunkan semua anak Rompin yang berhijrah dan menetap di Lembah Klang.

Disiarkan pada: July 18, 2016 @ 10:41am
d