mutakhir

Mimpi ayah masih hidup

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Shah Alam: “Kehilangan arwah masih dirasai terutama bagi dua anak lelaki yang sering bermimpi ‘melihat’ bapa mereka berpakaian seragam dan masih hidup. Bagi mengubat kerinduan, saya hanya mampu melihat gambar dan videonya di telefon bimbit selain mendengar lagu Salam Terakhir nyanyian Allahyarham Sudirman,” kata Mariam Yusof, 47.

Semalam, genap dua tahun tragedi nahas MH17 mengorbankan nyawa suaminya yang juga juruterbang pesawat malang itu, Allahyarham Kapten Wan Amran Wan Hussin, 50, dan 297 penumpang serta anak kapal akibat ditembak jatuh di Timur Ukraine.

Menurut Mariam, Aidilftri kali ini disambut secara ringkas bersama keluarganya di Kelantan sama seperti tahun lalu.

“Biarpun sudah dua tahun berlalu, rasa sayu dan sunyi tetap dirasai terutama ketika menyambut Ramadan serta Syawal ini. Keseronokan itu tidak sama seperti sebelum ini.

“Namun, kehidupan perlu diteruskan dan saya mahu membesarkan anak, Wan Yunus Uzair, 13, dan Wan Yusuf Irfan, 11, dengan baik terutama soal pendidikan mereka,” katanya sebak ketika ditemui pada majlis tahlil dan bacaan Yasin di rumahnya di Alam Impian di sini, semalam.

Hadir sama, Mohamed Affendi Khairuddin, 45, suami kepada Allahyarhamah Mastura Mustafa yang juga pramugari MH17 dan tiga keluarga mangsa lain.

Mariam berkata, dia masih berharap mendapat keadilan sewajarnya terutama mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab menyebabkan nahas berkenaan.

“Saya cuma mahu keadilan untuk arwah suami dan waris keluarga lain kerana penantian yang ditanggung selama ini hanya kami mengetahui keperitannya.

“Jangan pinggirkan kejadian ini seolah-olah ia tidak pernah berlaku dan kami cuma hanya mahu jawapan yang pasti,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Affendi berkata, tujuh keluarga dijangka akan mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak berkaitan dalam tempoh terdekat.

Disiarkan pada: July 18, 2016 @ 10:45am
d