mutakhir

Air mata seribu cerita

Oleh Hayati Ibrahim

Cyberjaya: Tanggal 17 Julai 2014, Sharifah Asma’a Syed Alwi Al Junied, 31, kehilangan suami tercinta, iaitu Ahmad Hakimi Hanapi pembantu juruterbang pesawat Malaysia Airlines MH17 yang terbabit dalam nahas di timur Ukraine.

Sejak itu, dia dan anak tunggal Abderrahman Ahmad Hakimi yang mencecah usia tiga tahun Oktober ini menumpang kasih dengan keluarga sendiri dan mentua terutama bapa mentuanya Dr Hanapi Mohd Noor yang boleh dianggap sebagai pengganti arwah Ahmad Hakimi.

Bagaimanapun, kira-kira jam 7.20 Khamis lalu, bapa mentuanya kembali ke rahmatullah selepas dikesan menghidap kanser hempedu tahap empat sejak April lalu pada usia 68 tahun.

Mengakui sedih berdepan dengan situasi itu, Sharifah Asma’a dan Abderrahman yang ditemui di kediaman mereka terpaksa akur dengan qada dan qadar Ilahi dan menganggap ia sebagai ujian untuk dirinya supaya lebih kuat demi membesarkan anak tunggalnya.

Wanita kecil itu kelihatan kuat, tetapi di sebalik tutur kata yang lancar berbahasa Melayu dan Inggeris itu masih tersembunyi kesedihan akibat kehilangan arwah suaminya dua tahun lalu dan mengelak untuk menjawab soalan berkisar kenangan bersama Ahmad Hakimi. Ikuti temu bual bersama beliau.

“Saya pasti Abderrahman pasti akan terasa dengan pemergian arwah ayah yang dipanggil ‘Baba’ kerana mereka berdua amat rapat, malah ketika arwah ayah dikafankan Abderrahman berulang kali menyebut ‘sorry baba’ dan ‘i love you baba’.

Arwah ayah juga sangat menyayangi Abderrahman kerana dia satu-satunya cucu dari anak lelaki, malah ketiga-tiga mereka kelihatan seiras umpama kembar tiga generasi iaitu atuk, anak dan cucu.

Kami baru saja cuba menyesuaikan diri dengan kehilangan arwah suami, tetapi kini kami kehilangan arwah ayah... Tidak dapat dinafikan, kami sedih dengan pemergian arwah, tetapi mungkin ayah kini berada ‘bersama’ (arwah) suami.

Arwah dibenarkan keluar dari hospital beberapa hari sebelum Aidilfitri dan dia sangat teruja untuk menyambutnya bersama anak dan cucu walaupun berada dalam keadaan lemah, dia seorang yang sangat menakjubkan.

Dalam keadaan itu, ayah sangat bersemangat demi anak dan cucu, dia pakai baju raya siap songkok dan meminta kami dudukkannya di meja makan bersama-sama, tetapi dia hanya mampu duduk sekejap saja kerana tidak larat.

Saya tak nak ingat perkara-perkara yang menyebabkan saya sedih, saya kena kuat untuk meneruskan kehidupan pada hari mendatang.

Hubungan saya dengan keluarga mentua amat rapat, dan saya harap ia akan terus berkekalan selamanya walaupun arwah suami dan ayah sudah tiada.”

Disiarkan pada: July 18, 2016 @ 10:47am
d