mutakhir

Gigih enam jam pikat tujuh tekukur

Seremban: “Ini tangkapan tekukur paling banyak yang pernah saya dapat walaupun terpaksa menunggu sehingga enam jam,” kata S Thamby, 50, dari Rantau, dekat sini, yang berjaya memikat tujuh ekor tekukur sekali gus memenangi Pertandingan Memikat Burung Tekukur/Merbuk 2016, yang diadakan di Taman Panchor Jaya, dekat sini, baru-baru ini.

Itu antara pengalaman lebih 250 peserta dari negeri ini, Melaka, Pahang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur ketika menyertai pertandingan berkenaan yang julung kali diadakan anjuran Geng Cinema Tekukur Merbuk (GCTM) dan Kelab Tekukur Mentari (KTM) yang turut diserikan dengan acara cabutan bertuah.

Pertandingan memikat tekukur itu diadakan di sekitar daerah ini bermula dari jam 8.30 pagi hingga 3 petang.

Thamby berkata, dia tidak menyangka burung yang digunakan untuk memikat begitu menjadi biarpun terpaksa menunggu dengan penuh sabar selain berdepan dengan cuaca panas terik.

“Burung pemikat yang saya gunakan itu memang sentiasa dilatih dan pernah digunakan dalam beberapa pertandingan memikat burung sebelum ini serta nyata tidak pernah mengecewakan.

“Saya puas hati kali ini burung itu sangat agresif dan berjaya menarik perhatian burung lain untuk kena jerat,” katanya yang menjadikan kawasan Pantai Seremban sebagai medan memikat burung tekukur.

Thamby yang juga pesara tentera berkata, hobinya memikat burung tekukur bermula sejak usia muda namun hanya melakukan aktiviti sekali sekala apabila mengikuti rakan yang juga peminat burung berkenaan.

“Selepas bersara, saya mempunyai banyak masa lapang dan sering kali pergi memikat burung bersama beberapa rakan lain dari negeri ini.

“Saya juga tidak pernah melepaskan peluang menyertai pertandingan burung tekukur kerana dari situ kita dapat menguji kehebatan burung pemikat yang kita miliki.

“Tambahan pula aktiviti seperti ini juga memberi manfaat kerana disertai pelbagai bangsa dari seluruh negara sekali gus mampu mengeratkan hubungan antara satu sama lain,” katanya yang turut menternak 30 burung tekukur di kediamannya.

Bagi Wong Fong Yi, 56, dari Jerantut, Pahang dia tetap puas hati walaupun sekadar menduduki naib juara pertandingan itu selepas memikat enam ekor burung tekukur.

Dia yang sudah berkecimpung dalam aktiviti berkenaan selama lebih 10 tahun juga pernah memenangi beberapa pertandingan memikat burung berkenaan sebelum ini yang berlangsung di Melaka, Pahang dan Perak.

“Selalunya saya mampu memikat sehingga 10 ekor burung tekukur tetapi kali ini tidak berapa menjadi kerana keadaan cuaca yang panas. Faktor cuaca sememangnya mempengaruhi pergerakan burung tekukur.

“Saya gembira kerana setiap kali pertandingan tidak pernah gagal memikat burung tekukur dan menduduki kedudukan terbaik dalam banyak pertandingan,” katanya yang memikat di Jalan Bukit Putus, dekat sini.

Wong yang bekerja sendiri berkata, dia sanggup pergi ke pelbagai lokasi yang jauh dari luar Pahang, untuk menyertai aktiviti seperti itu kerana minat yang mendalam selain dapat bertemu ramai rakan.

Dia yang sudah terbabit dalam kegiatan memikat burung tekukur selama lima tahun berkata, aktiviti itu dilakukannya sebagai sampingan bagi mengisi masa lapang.

“Saya menyertai aktiviti ini sekadar untuk seronok saja kerana minat kepada burung dan ini bukan kali pertama menyertainya.

“Kita akan rasa puas jika usaha yang dilakukan itu berjaya walaupun dari segi pulangan hadiah tidak setimpal kerana tujuan kita hanya suka-suka dan dapat merapatkan dengan rakan lain,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2016 @ 7:02am
d