mutakhir

Berus warna air pintar bantu pelajar OKU

Alor Setar: Seorang pensyarah bersama tiga penuntut lelaki berjaya mencipta berus warna air pintar berbentuk pen untuk memudahkan pelajar pendidikan khas menggunakannya ketika kelas seni visual berbanding penggunaan berus biasa yang menyebabkan kekotoran.

Pensyarah Jabatan Pendidikan Khas Institut Perguruan Darul Aman (IPDA) Dr Azizah Zain berkata, beliau terdetik menghasilkan berus pintar itu apabila melihat pelajar pendidikan khas menggunakan berus biasa menghadapi masalah menggunakannya sehingga berlaku kekotoran.

“Masalah utama menggunakan berus biasa kerana ia memerlukan banyak peralatan seperti papan pembancuh warna, air dan berus yang merumitkan penggunaannya kepada pelajar pendidikan khas.

“Bagi mengatasi masalah berkenaan, saya membentuk satu kumpulan penuntut semester akhir terdiri Mohd Zulqarnain Abdol Rahman, 23, Muhd Aidil Firdaus Mohd Abdullah, 23 dan Afif Ainzat Suhaimi, 23,” katanya pada Ekspo Inovasi di IPG Kampus Darulaman 2016, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sains Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia negeri Datuk Norsabrina Mohd Noor dan Pengarah IPDA Datin Naimah Jaafar.

Azizah berkata, mereka menjalankan kajian itu seklama enam bulan dan berjaya mencipta berus warna air pintar berbentuk pen dengan modal RM2.50 dan menggunakan bahan terbuang.

Sementara itu, Mohd Zulqarnain berkata, dalam tempoh enam bulan itu mereka mencuba 10 kali untuk menghasilkan berus warna air pintar sebelum berjaya.

“Penggunaan berus warna air pintar itu dapat diisi semula dan ia mampu digunakan berkali-kali dengan hanya mengisi warna berkenaan ke dalam tiub picagari dan dimasukkan ke dalam saluran tiub warna.

“Kami mencipta berus pintar ini sebagai galakan kepada pelajar (orang kurang upaya) OKU untuk belajar dalam keadaan yang menyeronokkan selain memberi dorongan kepada guru untuk lebih inovasi,” katanya.

Menurutnya, harapannya selepas ini ingin mengkomersialkan berus warna air pintar itu supaya dapat membantu guru pendidikan khas supaya ia menjadi alternatif pilihan pendidikan seni.

“Kami turut menerima anugerah emas pada Expo Pengantarabangsaan Minda Global Pendidikan dan Hari Inovasi I Care di Putrajaya.

“Menerusi penciptaan baru ini, kami turut dijemput membuat pembentangan di Universiti Of Prince dan University Songkla di Thailand, November nanti.

“Kini, kami menghasilkan berus mudah ini secara komersial dan produk akan dipatenkan untuk digunakan di sekolah pendidikan khas secara meluas,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2016 @ 7:16am
d