mutakhir

Pesara tentera parah disamun

Wangsa Maju: Seorang pesara tentera cedera parah selepas diserang empat lelaki bersenjatakan parang ketika berada di hadapan rumahnya.

Dalam kejadian jam 7.30 malam semalam, mangsa berusia 50-an ditetak berulang kali di kepala, tangan dan kaki oleh penjenayah yang dipercayai mahu merompaknya di Jalan Setiawangsa 2A, Ulu Kelang, di sini.

Mangsa bagaimanapun ditemui jiran berhampiran dalam keadaan berlumuran darah selepas diserang suspek yang melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohammad Roy Suhaimi Sarif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan kejadian itu jam 7.55 malam.

Katanya, siasatan mendapati serangan berlaku sewaktu mangsa mahu memasuki kereta yang diletakkan di pekarangan rumahnya.

“Secara tiba-tiba mangsa diserang empat lelaki yang menunggang motosikal Yamaha 125Z. Dua daripada suspek bersenjatakan parang menyerang mangsa dengan menetak bahagian kepala, tangan dan kaki mangsa.

“Bagaimanapun suspek melarikan diri apabila mangsa menjerit meminta tolong,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohammad Roy berkata, mangsa yang parah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan.

Katanya, suspek hanya sempat melarikan kunci kereta Kia Rio milik mangsa.

“Siasatan masih dilakukan bagi mengenal pasti identiti empat suspek terbabit. Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” katanya.

Disiarkan pada: July 19, 2016 @ 7:31am
d