mutakhir

Kereta jahat

Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Seorang pemandu kereta yang dikejar polis bertindak agresif menghimpit motosikal ditunggang seorang anggota polis trafik hingga terjatuh cedera parah.

Dalam kejadian jam 3.30 petang semalam, suspek dikejar beberapa anggota trafik yang menunggang motosikal di Jalan Kuching berhampiran susur kompleks perumahan kerajaan di sini.

Akibatnya, mangsa, Konstabel Wan Mohd Fazly Wan Soho, 27, patah tangan dan mengalami kecederaan teruk di muka.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sentul Leftenan Muda Mohd Nor Ali berkata, mangsa terbaring di bahu jalan akibat kejadian kemalangan itu.

“Mangsa mendakwa dihimpit kereta menyebabkan dia hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum terjatuh.

“Akibat kemalangan itu, mangsa patah tangan kiri selain mengalami luka pada muka, kedua-dua tangan dan kaki. Mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan kecemasan,” katanya.

Difahamkan doktor masih melakukan pemeriksaan sama ada mangsa mengalami kecederaan pada paru-paru dan tulang rusuk.

Sementara itu, jurucakap polis berkata, pihak polis akan menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Disiarkan pada: July 19, 2016 @ 7:32am
d