mutakhir

Derita hilang nikmat melihat

Machang: Sepatutnya dia memikul tugas sebagai ketua keluarga yang mencari rezeki untuk menyara isteri serta dua anak masih kecil.

Namun, segala-galanya berubah buat Mustapha Mamat, 45, apabila nikmat untuk melihat yang dikurniakan Allah SWT ditarik kembali, lapan tahun lalu.

Mustapha berkata, sejak itu dia terpaksa berkurung di rumah dan tugas mencari rezeki beralih kepada isteri Norafidah Muhammad, 33, yang mengambil upah menoreh getah.

Pendapatan diperoleh sekitar RM300 sebulan, ditampung pula dengan bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM200 sebulan.

“Sepatutnya saya yang memikul tanggungjawab menanggung Norafidah dan dua anak kami iaitu Nor Fatihah, 12, dan Mohd Akil, 6, tetapi kini mereka pula yang perlu menjaga saya.

“Saya kasihan melihat isteri yang terpaksa mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Dia perlu mengurus keperluan keluarga kami dan bekerja bertungkus lumus.

“Kesungguhan dia membuatkan saya rasa kesal kerana tidak mampu membantu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Simpul Belubang, di sini.

Menceritakan musibah menimpanya, Mustapha berkata, mula kehilangan pancaindera melihat selepas bekerja sebagai buruh membina jambatan di pedalaman Gua Musang, lapan tahun lalu.

Katanya, sehingga kini dia masih menganggapnya misteri apabila hilang deria melihat secara tiba-tiba walaupun sudah disahkan pakar perubatan bahawa matanya tidak bermasalah.

“Sudah puas saya berubat dan doktor sendiri memberitahu mata saya sihat. Cuma yang saya ingat, sebelum nikmat ini ditarik, saya bekerja di sana dan pernah membuang air di tepi sungai.

“Selepas insiden buang air itu, mata saya jadi kabur sedikit demi sedikit sebelum langsung tidak dapat melihat.

“Doktor mengesahkan saya tiada penyakit dan mata saya sihat, tetapi saya tetap ‘buta’. Saya buntu dan tidak tahu apa puncanya,” katanya yang sudah menemui pelbagai pakar perubatan dan pengamal perubatan tradisional.

Berikutan itu dia mengalu-alukan mana-mana pihak yang bersedia membantunya demi keluarga tercinta.

Norafidah berkata, nasib yang menimpa suaminya dianggap sebagai ujian untuk keluarganya dan reda apabila perlu mengambil alih tugas ketua keluarga.

Disiarkan pada: July 19, 2016 @ 7:33am
d