mutakhir

Sangat kejam

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Tindakan tidak berperikemanusiaan seorang nelayan mengelar leher seorang warga emas ketika menceroboh rumah mangsa terbalas apabila dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Keputusan itu dibuat Hakim Azman Mustapha selepas Mohd Roslan Samat, 39, dari Jalan Nibong Stesen, Dungun, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh mengaku salah sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan sebilah pisau yang boleh mendatangkan kematian kepada mangsa, Melar Mohamad, 89, di sebuah rumah di Jalan Kiambang, Alor Tembesu, Dungun, jam 5 pagi pada 24 April lalu.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Hafiz Abd Rahman.

Mengikut fakta kes, pengadu (Mohammad Awang) yang berada di rumah di Alor Tembesu, Dungun, jam 5.30 pagi pada 24 April lalu didatangi jiran kepada ibunya (mangsa) memaklumkan yang mangsa datang ke rumahnya dalam keadaan berlumuran darah.

Pengadu yang terkejut menerima berita itu bergegas mendapatkan mangsa yang ketika itu berada dalam keadaan berlumuran darah dipercayai terkena tikaman atau dikelar pada leher.

Pengadu terus membawa mangsa ke Hospital Dungun sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk rawatan lanjut dan membuat laporan polis bagi tindakan susulan.

Tertuduh ditahan di Sungai Buaya, Dungun jam 9 pagi pada hari sama dan barang kes termasuk sebilah pisau dipercayai digunakan mencederakan mangsa turut dirampas.

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan seorang lelaki bertindak kejam apabila tergamak mengelar leher seorang warga emas ketika menceroboh rumah mangsa dipercayai untuk melakukan jenayah di Kampung Alor Tembesu, Dungun.

Akibat kejadian itu, mangsa yang cedera parah di leher di hantar mendapatkan rawatan lanjut di HSNZ, di sini, bagaimanapun dilaporkan stabil.

Disiarkan pada: July 20, 2016 @ 10:04am
d