mutakhir

Iktibar Rayani Air

Oleh Mohamad Fahd Rahmat

Johor Bahru: Kementerian Sumber Manusia berharap Skim Insurans Pekerjaan (EIS) yang memberi manfaat kepada 6.5 juta pekerja rakyat negara ini dapat dibentangkan kepada Kabinet dan Parlimen selewat-lewatnya tahun depan.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Anak Jaem berkata, melalui skim berkenaan pekerja dilindungi dengan bayaran caruman paling minimum dikenakan terhadap pekerja dan majikan.

Beliau berkata, pihaknya melengkapkan pelan cadangan pelaksanaan skim berkenaan yang mengambil kira pandangan pelbagai pihak termasuk majikan selain mengambil contoh pelaksanaan di negara maju.

“Skim itu melindungi golongan pekerja jika ada perkara buruk yang berlaku dan lebih 6.5 juta golongan pekerja rakyat tempatan menerima manfaat berkenaan.

“Kita ambil contoh kes yang menimpa pekerja Syarikat Penerbangan Rayani Air yang tidak dapat menerima sehingga lima bulan gaji sebelum ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Khas Menteri Sumber Manusia bersama warga kerja Kementerian Sumber Manusia di Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Wilayah Selatan di sini.

Beliau berkata, caruman skim itu seperti diamalkan ke atas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), penting bagi memastikan pekerja dapat bertahan sekurang-kurangnya empat bulan, sebelum mendapat pekerjaan baru.

“Ia mesti dibuat kerana jika sesebuah syarikat tidak mampu membayar gaji pekerja selepas diisytiharkan bankrap, kita (kementerian) tidak boleh hendak memaksa mereka membayar.

“Contohnya dalam kes syarikat penerbangan Rayani Air, kita tidak dapat berbuat apa-apa kerana perkara yang boleh dilakukan ialah memfailkan kes terbabit di Mahkamah Industri,” katanya.

Disiarkan pada: July 20, 2016 @ 10:17am
d