mutakhir

Pantau laman sosial tentera cegah militan

Kuala Lumpur: Pihak Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau laman sosial milik anggotanya bagi memastikan anasir militan tidak meresapi TLDM.

Malah TLDM meningkatkan pemantauan terhadap anggotanya bagi membasmi sepenuhnya penyebaran dakyah kumpulan militan termasuk Daish.

Panglima TLDM Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata, pemantauan itu dilakukan bagi mengekang anggota TLDM terjebak aktiviti ekstremisme.

Beliau berkata, selain pemantauan, pihaknya turut mengadakan ceramah bertujuan meningkatkan kesedaran kepada pegawai dan anggota TLDM berhubung bahaya kumpulan militan terutama Daish.

“Kami juga bekerjasama dengan PDRM bagi memantau aktiviti mencurigakan dalam kalangan anggota TLDM.

“TLDM bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut berinteraksi rapat dengan PDRM bagi melakukan pemantauan dari semua aspek termasuk sosial media digunakan anggota tentera,”katanya selepas Majlis Pemakaian Pangkat di KD Sri Gombak, Jalan Semarak di sini, semalam.

Disiarkan pada: July 20, 2016 @ 10:20am
d